Fasha Sandha dimadukan? Benar, itulah watak yang bakal
dimainkan Fasha Sandha sebagai Hana, isteri mithali yang memendam rasa
apabila dikejutkan dengan kehadiran orang ketiga dalam sebuah drama
rantaian di slot Lestary berjudul “Selamat Pengantin Madu”.
Drama yang menemui penonton TV3 bermula Rabu lepas,
disiarkan setiap hari Rabu & Khamis, jam 9 malam. Bagaimanapun
bermula Oktober nanti, slot ini hanya akan bersiaran setiap Khamis
sahaja, 9 malam.
Drama ini dibintangi pelakon terkenal seperti Fasha
Sandha, Aiman Hakim Ridza, Eina Azman, Kuza, Falisha Crossley, dan Ieda
Moin.
Selamat Pengantin Madu mengisahkan Hana (Fasha Sandha)
yang mengecapi kebahagiaan rumah tangga bersama suaminya, Zulkifli
(Aiman Hakim Ridza) tiba-tiba dilanda tamparan hebat dengan kehadiran
orang ketiga dalam hidup mereka. Lebih buruk apabila orang ketiga itu
sah bergelar madunya.
Bersiaran sebanyak 13 episod, drama arahan Ibrahim Ilyas
untuk produksi Pesona Pictures itu mempertaruhkan Fasha Sandha dan Aiman
Hakim Ridza sebagai teraju utama Selamat Pengantin Madu. Penuh dengan
elemen kekeluargaan dan cabaran bermadu, drama itu dilihat bakal
mendapat tempat di hati penonton.
Fasha Sandha membawakan watak Hana seorang isteri mithali
yang melaksanakan segala tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada
suaminya yang tersayang, Zul. Dalam usia 30-an, Hana merasakan dia telah
mengecapi segala impiannya terutama dalam memiliki sebuah keluarga
bahagia.
Hana juga dikurniakan dua cahaya mata iaitu Isya dan
Shafik. Hidup mereka juga agak mewah kerana Zul memegang jawatan tinggi
di sebuah syarikat swasta. Hana digambarkan sebagai seorang wanita yang
taat kepada suami dan hanya meluangkan masa lapangnya bersama
keluarganya sahaja. Malah undangan rakan sepejabatnya terbatas apabila
di luar waktu kerja.
Zul pula memang menjalankan tugasnya sebagai suami yang
bertanggungjawab. Dilihat sentiasa ceria dan suka berseloroh, menjadikan
Zul seorang yang mudah didampingi. Namun sebermula kisah ini
dikembangkan, wujud seorang lagi watak antagonis lakonan Eina Azman
sebagai Masmira.
Kewujudan wataknya yang mulanya misteri kini menjadi
tamparan hebat buat Hana. Apatah lagi apabila menerima sepucuk surat
menceritakan wanita itu telah diperisterikan Zul.
Wanita mana yang sanggup dimadukan? Lantas dunia Hana
gelap seketika cuba mencari kekuatan dalam menempuh dugaan dan
pembohongan Zul.
Sebaik mana juga Hana namun pasti ada sekelumit perasaan
hati yang terguris. Namun, dengan jalan cerita yang unik, Hana menerima
nasihat rakannya agar cuba menerima baik takdir yang menimpanya dengan
melakukan perubahan positif.
Sedar bahawa anak-anaknya tidak boleh menerima kenyataan
bahawa Zul telah menduakan ibu mereka menyebabkan Hana simpati dan tetap
cuba menjayakan rumah tangganya. Namun niat baik Hana bakal berhadapan
jalan sukar apabila Masmira menginginkan yang sebaliknya.
Tamak dengan kasih sayang dan menginginkan perhatian penuh
Zul, Masmira cuba memiliki Zul sepenuhnya. Mampukah Hana bertahan?
Apakah rancangan jahat Masmira? Saksikan “Selamat Pengantin Madu” di
slot Lestary setiap hari Rabu dan Khamis jam 9 malam hanya di TV3 untuk
mengetahui apakah yang bakal terjadi kepada keluarga Hana.
Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.
*Artikel dari BH Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan