KUALA LUMPUR: Polis seharusnya menyiasat apa sahaja dakwaan yang akan didedahkan bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis, Sirul Azhar mengenai ada pihak yang memberinya arahan bertindak di dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis juga seharusnya mengambil kira semua pendedahan Sirul dan mengesahkan kebenaran setiap maklumat yang akan didakwa Sirul. "Polis kena siasat apa sahaja dakwaan mengenai siapa yang menyuruhnya selain mengesahkan ia betul atau tidak, setiap perkara baru yang didedahkan perlu disiasat semula. "Polis juga perlu mengesahkan dakwaan Sirul sama ada ia benar atau tohmahan semata-mata," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Musa mengulas jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan Sirul mengarut ketika di tanya wartawan mengenai dakwaan 'orang penting yang mempunyai motif' dalam kes itu yang masih bebas. Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, Sirul berhak membuat pendedahan mengenai pembunuhan Altantuya.
Kata Musa lagi, kerajaan harus meminta Sirul untuk pulang ke negara ini untuk memberi peluang polis menyiasat segala dakwaannya. Sirul sebelum ini dilaporkan kesal kerana dijatuhkan hukuman mati selepas melakukan apa yang diarahkan. Dia berkata seandainya ditakdirkan mati, rohnya tidak akan aman kerana hanya melakukan apa yang diarah dan mendapat balasan demikian. Musa merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang kelapan dan berkhidmat sejak 12 November 2006 sehingga 12 September 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan