masing-masing putar belit,
masing-masing pintar teori
masing-masing isi tembolok dan perut sendiri,
bapaku YB di negara demokrasi,
jadi YB tak habis-habis berkelahi,
bapaku YB di negara demokrasi,
di parlimen tidak habis-habis kena maki.
petikan puisi Bapaku YB oleh Pyanhabib
Terkesan betul saya dengan baris terakhir puisi penyair Pyanhabib di atas. Walaupun mudah dan sempoi, namun akar realisme-nya kuat- di parlimen tidak habis-habis kena maki- ini betul. Kalau tidak sanggup dimaki dan dihina janganlah memasang cita-cita menjadi ahli parlimen Malaysia. Sudahlah demokrasinya ke mana hala, inikan pula pak menterinya. Namun, saya tak mahu pergi jauh dengan puisi Pyanhabib itu, saya mahu cerita tentang menteri pembohong.
Ekoran tidak hadirnya Pak Najib el-Wasatiah, boss Datuk Seri Shahidan Kassim, dia sendiri dibalun teruk oleh rakan-rakan ahli parlimennya. Saya merasa kasihan pula kepada Shahidan. Gara-gara bosnya, hari ini dia sudah kena maki. Inilah mungkin apa yang kita namakan sebagai kedaulatan parlimen.
Parlimen ini menarik. Ia menggugah sudut kesedaran kita yang bernegara. Namun, realitinya kesedaran kita itu asyik-masyuk dengan gelak ketawa apabila melihat pak-pak menteri UMNO dan Barisan Nasional hilang lidahnya, ataupun tiba-tiba menjadi lidah bercabang.
Walaupun kasihan, saya tetap tidak boleh mempertahankan beliau. Tidak berbaloi dan menyalahi prinsip manusia berakal jika ada yang mahu pertahan Shahidan. Kalau pun ada yang nak pertahan menteri yang seorang ini, mungkin dia adalah Pak Najib el-Wasatiyyah. Bosnya yang tak kurang serupa dengan Shahidan.
Kisah makhluk bercabang lidah ini bermula sewaktu dia back up kawannya yang seorang lagi, Ismail Sabri, yang telah update status facebook seru orang Melayu boikot sama orang Cina.
Kalau sesiapa baca tentang Ismail Sabri, mereka akan tahu ini makhluk menteri yang pelik. Dia ini benci betul dengan orang Cina, semacam ada dendam yang lama dengan kaum itu.
Yang jadi ceritanya, Shahidan boleh pula sokong Ismail. Itu yang menghairankan. Bukan saja sokong, sanggup pula jadi makhluk lidah bercabang mendokong seorang rakannya yang meroyan dengan orang Cina. Kisah meroyan Ismail ini memang sudah jadi panas. Tiga puluh dua laporan polis seluruh negara dibuat ekoran kenyataannya meroyannya itu. Kalau Ketua Polis Negara orang panggil ‘Gila Twitter’ (semacam tahi twitter juga), Ismail kita boleh panggil ‘Gila Facebook’.
Dalam parlimen, Shahidan kata kes Ismail sudah tutup. Jadi, ini sudah tipu. Mana ada kes Ismail tutup. Entah mana dia dapat kata kes Ismail sudah tutup. Zahid Hamidi pun kata itu sudah jadi kes polis. Kita-kita pun masih tunggu apa siasatan yang dibuat ke atas Ismail Sabri.
Okey, kita sudah tau dia mau tipu, dan kita pun sudah gelar dia ‘menteri pembohong’. Shahidan Kassim sudah boleh kawan dengan Pak Man Telo dan Pinochhio.
Cuma dalam hal menteri pembohong alias makhluk lidah bercabang ini ialah apa tujuannya dia berbohong. Berbohong ini orang tahu sebab nak lari dari kesilapan sendiri, atau mau lari. Ini lumrah saja kepada menteri yang setia dengan bosnya iaitu Perdana Menteri Najib.
Jadi kita tahu, Shahidan macam terpaksa menipu disebabkan Pak Najib el-Wasatiyyah tak mahu hadir. Pak Najib hanya hantar soldadunya saja. Shahidan sebagai soldadu terkepit. Orang terkepit tabiatnya akan bohong dan tipu. Kalau menteri pembohong dan dimaki, maka Perdana Menteri kita boleh gelar bos segala pembohong.
Kalau-kalau Pak Najib el-Wasatiyyah mari hadir Parlimen. Entahlah dia akan jadi makhluk apa. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan