KUANTAN: Jabatan Agama
Islam Pahang (JAIP) menyatakan wanita Islam di negeri itu yang
berpakaian mencolok mata termasuk mengenakan pakaian terlalu pendek atau
ketat sepanjang Ramadan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau
denda sehingga RM2,000.
Ketua Siasatan JAIP, Mohd Anis Azmin
berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh pihaknya di beberapa lokasi di
bazar Ramadan mendapati ramai wanita Islam memakai pakaian tidak sopan
yang dianggap sebagai tidak sesuai.
“Mereka perlu mengelak daripada memakai pakaian seperti itu sepanjang bulan mulia ini.
“Ini merupakan amaran kepada orang ramai
sebelum kami melakukan operasi terhadap pesalah tidak lama lagi,”
katanya seperti dilapor sebuah portal berita, hari ini.
Tambah Anis, pihak JAIP tidak meletakkan etika berpakaian untuk menjelaskan cara pemakaian yang dianggap sopan.
“JAIP tidak bleh menetapkan penanda aras
mengenai bagaimana pakaian yang sopan, kerana apa yang baik bagi JAIP,
tidak semestinya dianggap begitu oleh orang lain.
"Kita juga tidak boleh memberitahu
mereka apa yang mereka perlu pakai tetapi peraturan praktikal adalah
untuk berpakaian sopan walaupun anda hanya keluar untuk membeli makanan
di bazar Ramadan," katanya.
Bagaimanapun, pesalah yang ditangkap
pihak berkuasa agama akan diberi kaunseling terlebih dulu dan sekiranya,
mereka mengulangi kesalahan sama maka boleh dikenakan hukuman penjara
atau denda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan