WASHINGTON DC: Tiada
apa-apa sambutan perayaan besar atau pesta konsert hiburan, namun bunyi
gemuruh aneh dari langit yang menyerupai gema suara terompet berjaya
dirakamkan ramai pihak di seluruh dunia.
Sehingga kini, bunyi pelik itu telah
dikesan kedengaran di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, Rusia
dan Jerman tetapi difahamkan suara tersebut juga dapat didengar di
banyak negara cuma ia tidak dihebohkan sangat.
Beberapa pengguna media sosial membuat
inisiatif sendiri merakam suara itu dan memuat naik menerusi laman
YouTube; terbaharu 4 April lalu, bunyi tersebut direkodkan di Jerman
sehingga menakutkan ramai penduduk.
Bagi umat Islam, fenomena bunyi gemuruh
itu dikaitkan lebih menyerupai terompet ‘sangkakala’, meskipun tiada
siapa pula pernah mendengar bunyi sebenar penanda hari kiamat itu kerana
logiknya ia belum pun lagi berlaku.
Di Kanada, seorang penduduk tempatan,
Kimberly Wookey berjaya merakam banyak klip suara itu serta memuat naik
dalam YouTube termasuk bunyi paling menyeramkan bulu roma yang
direkodkan pada 29 Ogos tahun lalu.
”Ini adalah kali kedua saya mendengar
sendiri suara-suara terompet semacam ini di Kanada,” tulisnya melalui
akaun YouTube-nya. “Pertama kali pada pagi 19 Jun 2013, namun ia tidak
sebesar yang sekarang,” ujar Wookey.
Biarpun bunyi yang dipercayai berasal
dari ruang angkasa itu kedengaran aneh dan ngeri, beliau tidak pula
ingin mengaitkannya dengan isu agama atau mistik, sebaliknya yakin suara
itu berasal dari fenomena geofizik bumi.
Berbeza pengalaman Aaron Traylor dari
Montana, AS cenderung percaya bunyi tersebut ada kaitan dengan magis,
malah dirinya mengalami mimpi buruk berhari-hari setelah memuat naik
video suara itu menerusi media sosial.
Isterinya pula kerap membangunkannya
tengah malam kerana mendengar Traylor berteriak histeria sewaktu tidur
sejak pertama kali mendengar bunyi terompet itu ketika berjalan di
sekitar rumah dengan anak dan anjingnya.
Semasa kejadian tersebut, si anjing
peliharaan Traylor tiba-tiba langsung membengkokkan kelopak telinga
seperti cemas melihat benda seram dan anak perempuannya yang masih kecil
turut berhenti melangkah kerana takut.
Dari sisi sains, pihak Pentadbiran
Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) di AS merumuskkan keanehan itu
sebagai suara latar bumi yang memang wujud secara semula jadi dan bukan
bunyi kapal angkasa mahkluk asing.
”Kita sebenarnya boleh mendengar alunan
simfoni khas berbentuk suara ribut yang pelik langsung dari planet kita,
ia bukan bunyi dari pesawat,” kata jurucakap NASA yang dipetik pelbagai
media tempatan di AS pada Isnin.
Menurut NASA, suara menyerupai gemuruh
terompet itu dapat disamakan dengan runut muzik latar yang biasa kita
tonton menerusi filem-filem sains fiksyen, cuma suara tersebut memang
nyata berasal terus dari bumi.
NASA menjelaskan fenomena bunyi itu
sebenarnya alamiah dan ada setiap waktu, namun, telinga manusia normal
yang tidak dapat mengesannya atau tahap ‘volume‘ suaranya tidak terlalu
besar.
– Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan