Dewan Pemuda PAS kini bersiap sedia
mengerahkan jenteranya di seluruh negara bagi memulakan gerak kerja
kepemudaannya yang lebih menyeluruh sebaik selesai program Ramadhan yang
telah berakhir dengan sambutan Hari Raya Idil Fitri minggu lepas.
Justeru saya mengingatkan dan
mengarahkan seluruh jentera pemuda PAS untuk menumpukan 5 peratus
daripada kekuatannya untuk menjawab persoalan-persoalan yang berkait
kekalutan dalaman yang tercetus pasca muktamar PAS baru-baru ini.
Begitu juga, 15 peratus daripada
kekuatan pemuda PAS hendaklah ditumpukan kepada program pemerkasaan
semula jentera pemuda akibat krisis yang melanda Pakatan Rakyat yang
berakhir dengan terbatalnya hubungan tahaluf siyasi dengan DAP.
Manakala 80 peratus daripada kekuatan
jentera Dewan Pemuda PAS di seluruh negara hendaklah digembeling dan
dikerah untuk terus melaksanakan gerak kerja 'core business' pemuda PAS
membina Malaysia melalui santunan terhadap isu-isu rakyat dan negara.
Saya berharap sehingga hujung 2015
nanti, Dewan Pemuda PAS sudah mampu menyerap segala isu dalamannya dan
mengerahkan 100 peratus kekuatannya untuk berdenyut nadi bersama rakyat
dan anak muda negara.
Dewan Pemuda PAS sedar betapa anak muda
negara hari ini memerlukan suntikan semangat dan jati diri yang kental
bagi menghadapi cabaran semasa kehidupan dan masa depan mereka sebagai
generasi pewaris negara.
Mereka mestilah disedarkan dan dibimbing
dengan benar dan betul bagi berhadapan isu-isu politik, ekonomi,
pekerjaan, sosial, keselamatan, alam sekitar dan segala kebejatan dalam
pelbagai sektor akibat kerosakan yang melanda negara sepanjang
pemerintahan puluhan tahun BN.
Sebagai langkah pertama sempena bulan
kemerdekaan tahun ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan
jelajah 'Wacana Kemerdekaan' yang melibatkan 100 buah bandar dan pekan
di seluruh negara bagi menjelaskan isu-isu rakyat dan anak muda.
Lebih 40 pemimpin anak muda Pemuda PAS
telah bersedia untuk turun padang bermula pertengahan Ogos nanti.
Nantikan kehadiran kami. Selamat membina Malaysia yang lebih baik.
Terima Kasih
Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia
1 ulasan:
Jentera kuda kayu dipimpin oleh penyamun tarbus
Catat Ulasan