TEMERLOH, 4 DIS: Perilaku
biadap pemimpin UMNO menjadikan perhimpunan agungnya sebagai medan
menyalahkan kaum lain petunjuk parti itu semakin terdesak untuk
mendapatkan sokongan Melayu.
ADUN DAP Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata,
anggapan pemimpin UMNO dengan memainkan sentimen kaum akan kekal menjadi
juara di hati orang Melayu sama sekali sudah tidak boleh diterima.
Tegasnya, rakyat Malaysia termasuk orang Melayu sendiri sudah muak dan jijik dengan tipu muslihat parti perkauman itu.
“Kalau UMNO betul juara Melayu, saya nak tanya kemana
lesapnya RM52 bilion saham bumiputera dari 1984 hingga 2005? Berapa yang
tinggal sekarang? kata Tengku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang DUN
Pahang.
“Berapa banyak lagi Tanah Rizab Melayu? Bukankah UMNO
sendiri yang telah menggadaikanya demi mengaut untung sehingga sanggup
menghalau penduduk?.
“Tak payahlah nak memperbodohkan masyarakat untuk tutup
kesalahan sendiri. Rakyat yang waras sudah tidak menerima UMNO lagi,”
tegas Pengerusi DAP Pahang itu.
Beliau menyifatkan fitnah dan kecaman Umno merupakan bukti
parti itu sememangnya mengabaikan semangat Perlembagaan yang menyeru ke
arah perkongsian nilai, budaya dan hormat-menghormati antara satu sama
lain.
Antara tohmahan dilemparkan ialah ucapan Ketua Umno Baling
Datuk Mashitah Ibrahim yang mendakwa kononnya orang bukan Islam di Kedah
membakar helaian al-Quran pada waktu sembahyang.
Justeru itu satu laporan polis dibuat 28 November lalu,
berhubung fitnah jahat yang cuba mengaitkan masyarakat Cina di negeri
itu dengan insiden tersebut.
Laporan dibuat di Balai Polis Tun HS Lee oleh Penolong
Setiausaha Publisiti Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri
Patto, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah Dyana Sofya dan
ahli parti Syefura Othman.
Manakala pada 2 Disember lalu, Pemuda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan turut membuat laporan sama di Balai Polis Dang Wangi.
Lanjutan itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut
menyatakan pendirian kerajaan Pulau Pinang yang akan turut membuat
laporan polis terhadap ucapan fitnah perwakilan UMNO Datuk Mohd Zaidi
Mohd Said.
Mohd Zaidi bukan saja menghasut kebencian dalam ucapannya,
malah menuduh kekuatan politik dan ekonomi orang Cina di Pulau Pinang
hasil dari aktiviti haram seperti perjudian haram dan pelacuran.
Cemas diasak pelbagai pihak di seluruh negara, Mohd Zaidi
menyatakan ucapannya disalah lapor oleh media, dan tidak ditujukan
kepada seluruh masyarakat Cina di Pulau Pinang.
Sebaliknya Mohd Zaidi bersilat lidah mengatakan ucapannya
merujuk kepada kelemahan penguatkuasaan kerajaan Pusat dan negeri. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan