Bawa masuk pekerja asing: Tindakan malas kerajaan atasi masalah
KUALA LUMPUR 15 FEB: Kerajaan Persekutuan patut memperkasa kemahiran belia serta sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri pembuatan tempatan, bukannya membawa masuk 1.5 juta pekerja asing bagi menyelesaikan isu itu.
Setiausaha Publisiti DAP Johor, Wong Shu Qi berkata Malaysia terlalu lama terperangkap dalam amalan industri berkemahiran dan bergaji rendah, malah tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana sejak 1990 akibat kegagalan dasar perindustrian kerajaan UMNO BN.
“Kerajaan sepatutnya menambah baik industri tempatan dengan meningkatkan R&D, sebaliknya mereka memperkaya kroni mereka di tahap permulaan, iaitu tahap industri paling penting. Contoh terbaik merupakan Perwaja.
“Generasi kini tidak belajar apa-apa kecuali pengklonan produk negara lain. Hari ini, kereta nasional kita tidak mampu bersaing di pasaran global,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mencabar belia di Malaysia bekerja di sektor 3D (Dangerous, Dirty, Difficult) jika mereka tidak mahu pekerja asing dibawa atas alasan tenaga kerja yang ramai diperlukan bagi membangunkan ekonomi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai itu berkata Zahid terlepas pandang fakta betapa industri di negara ini ketinggalan di pasaran global dan menyediakan pekerjaan bergaji dan berkemahiran rendah yang gagal menarik minat graduan tempatan.
“Isu utama bukanlah 1.5 juta pekerja asing tetapi mengapa kita memerlukan mereka? Zahid mendakwa tiada penduduk tempatan berminat dalam pekerjaan 3D. Namun pernahkah beliau meninjau keadaan bekerja dalam industri pembuatan?
“Bagaimana kerajaan boleh menyalahkan generasi tempatan yang berpendidikan tinggi apabila pekerjaan ditawar industri itu tidak sepadan dengan tahap dan pelaburan pendidikan mereka?” katanya.
Beliau berkata, sektor 3D tidak semestinya memerlukan pekerja asing bergaji rendah jika teknologi digunakan dalam industri itu dan gaji ditawarkan setanding dengan negara maju seperti Jepun.
“Kita boleh lihat pekerjaan sektor 3D di negara maju adalah kurang kotor, berbahaya dan dipandang rendah. Contohnya, pemungut sampah di Jepun juga merupakan mekanik profesional yang mengendalikan mesin sampah berteknologi canggih, lalu mereka dipandang tinggi.
“Justeru, membawa masuk pekerja asing merupakan tindakan kerajaan paling malas. Kita perlu mendesak kerajaan agar melabur lebih banyak wang dalam menaik taraf teknologi industri negara bagi menjamin daya saing tinggi dalam pasaran global,” katanya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan