Dua
hari lalu, para penyokong dan pentaksub Najib Razak nampak begitu
gembira apabila Peguam Negara, Gani Patail menafikan ada akaun bank
milik Perdana Menteri turut termasuk dalam enam akaun yang dibekukan
oleh pasukan petugas khas pada 5 Julai lalu.
Seolah-olah
dapat menyuci dan membebaskan Najib daripada segala dakwaan yang dibuat
oleh The Wall Street Journal atau WSJ sebelum ini, penafian itu
disambut baik, malah mereka yang menyebarkannya segera dianggap
mempunyai niat jahat terhadap Perdana Menteri.
Belum
pun lama bergembira, tiba-tiba mereka “tersedak” apabila Gani muncul
lagi semalam menjelaskan bahawa dua akaun bank milik Najib yang
didedahkan oleh WSJ tidak tersenarai dalam pembekuan itu kerana ia sudah
pun ditutup pada 30 Ogos 2013 dan 9 Mac 2015 lalu.
Dengan
penjelasan ini bermakna akaun bank milik Najib di Ambank yang didakwa
oleh WSJ adalah destinasi terakhir pengaliran masuk wang berjumlah
hampir RM2.6 bilion adalah benar-benar wujud.
Maka
yang mahu ditunggu-tunggu daripada pasukan petugas khas selepas ini
ialah apakah benar berlaku kemasukan wang sebagaimana yang didakwa oleh
WSJ itu?
Menjadi
penantian juga untuk diketahui ialah mengapakah akaun kepunyaan Najib
itu ditutup? Adakah ia ditutup untuk mengelakkan agar tidak dapat
dikesan lagi?
Adakah
ia ditutup kerana wangnya telah dipindahkan ke akaun lain, dilaburkan,
sudah habis dibelanjakan atau disimpan dalam bentuk tunai di mana-mana?
Walaupun
Peguam Negara mengatakan beberapa dokumen berkaitan akaun bank yang
ditutup itu sudah diambil oleh pasukan petugas khas, nampaknya isu lebih
menarik perhatian umum.
Dengan
pengesahan Gani Patail bahawa akaun bank itu benar-benar wujud, cuma
sudah ditutup, persoalan mengapa Najib mengelak-ngelak daripada memberi
jawapan tepat mengenai dakwaan kemasukan wang ke dalam akaunnya tentunya
sudah pun ada dalam pemikiran setiap kita sedangkan ia hanya memerlukan
sebutan antara “ya” atau “tidak” saja
Cumanya,
harapan rakyat ialah pasukan petugas khas ini benar-benar jujur, amanah
dan profesional dalam menjalankan tugas mereka. Walaupun secara
amalannya, Peguam Negara dan SPRM melaporkan tugas mereka kepada Perdana
Menteri manakala Gabenor Bank Negara kepada Menteri Kewangan dan
kedua-dua jawatan itu disandang oleh Najib, moganya mereka tidak lupa
bahawa pertanggungjawaban kepada rakyat dan Tuhan adalah segala-galanya
dalam kes ini
Hanya
Ketua Polis Negara terkecuali melaporkan tugasnya kepada Najib kerana
ia berada di bawah Kementerian Dalam Negeri yang dijaga oleh Ahmad Zahid
Hamidi tetapi amarannya terhadap pembocor maklumat melebihi skandal
yang sedang didedahkan, mula menimbulkan bibit-bibit kebimbangan di
kalangan orangramai.
Lantaran
itu, saranan yang mahukan Najib bercuti sementara pasukan petugas khas
ini menjalankan tugasnya, bukanlah sesuatu yang tidak berasas
sebenarnya.
Dengan
bercuti atau dicutikan, pasukan petugas khas ini tentu saja lebih
diyakini rakyat dan apa-apa keputusan mereka juga tidak akan diragui
lagi berbanding jika Najib masih tercongok sebagai Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan sedangkan beliau juga adalah suspek yang sedang
dicurigai.
Selain
pengesahan mengenai akaun itu, menjelang lewat petang semalam,
penyokong dan pentaksub Najib terpukul lagi apabila Sarawak Report dalam
pendedahan terbarunya melaporkan mengenai kemasukan wang ke dalam akaun
milik Rosmah Mansor berjumlah RM2 juta dalam tempoh 10 Februari hingga
23 April 2015.
Pendedahan
yang cukup lengkap dengan nombor akaun bank yang dikatakan milik
Rosmah, jumlah wang, tarikh wang dimasukkan dan siapa yang menguruskan
kemasukan wang itu, pastinya sukar dinafikan dan menambahgoyangkan lagi
kedudukan Najib.
Belum
pun Najib mampu menjawab dakwaan berkaitan wang yang dimasukkan ke
akaun peribadinya dan minggu lalu tersebar video rakaman bagaimana
Rosmah dilayan umpama “Cinderella” dengan dipakaikan kasut oleh
pembantunya, kini isterinya itu sekali lagi mendatangkan beban baru yang
bakal menjadi perbualan umum.
Sebagai
isteri yang selalu digambarkan oleh pembantunya bahawa Rosmah hanyalah
seorang suri rumah saja, rakyat kini ghairah ingin tahu daripada manakah
datangnya wang sebanyak RM2 juta yang boleh didepositkan ke dalam akaun
peribadinya dalam tempoh tidak sampai tiga bulan itu?
Adakah Rosmah akan mengatakan ia tabungan lama atau pemberian tanda kasih sayang daripada suami tercinta?
Jika pemberian daripada Najib, daripada mana dan bagaimanakah pula wang itu diperolehi?
Atau apakah ia datang daripada sumber-sumber lain yang hanya Rosmah saja tahu mengenainya?
Adakah
sehari dua nanti Rosmah juga akan memberi jawapan yang cuba mencairkan
hati rakyat seperti, “saya tak ambil wang negara atau Permata untuk
kepentingan peribadi” atau “kalau ia wang curi, takkan saya masukkan
dalam akaun peribadi?”
Walaupun
kita sebagai rakyat merasakan ini satu lagi bahana untuk negara, Najib
dan Rosmah sekurang-kurangnya sedang berdepan masalah yang sama dan ini
membolehkan keduanya saling berpakat, bekerjasama dan bahu membahu
antara satu sama lain menyelesaikan apa yang sedang dihadapi.
Dalam
sejarah negara, belum pernah ada Perdana Menteri dan isteri yang
“sama-sama naik” seperti ini dan ia barangkali suatu “kebanggaan baru”
setelah bertahun-tahun kita hanya berbangga dengan KLCC dan Putrajaya
saja.
Oleh Shahbudin Husin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan