Kes saman Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap saya
mengenai satu kenyataan media berhubung skandal pembelian hartanah MARA
di Australia bermula hari ini. Peguam saya, YB William Leong (Ahli
Parlimen Selayang) mendapat pelepasan dari Yang Arif S Nantha Balan
untuk menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan saya memfailkan satu
affidavit memasukkan transkrip perbicaraan di Mahkamah Melbourne sebagai
bahan bukti pihak saya.
Perbicaraan penuh akan bermula pada 6 dan 7 Jun 2016 ini.
Sementara kes ini melalui proses undang-undang di mahkamah, fakta-fakta
berhubung urusniaga yang melibatkan MARA dan beberapa individu yang
dikaitkan dengan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO itu terus mendapat
liputan.
Sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan atau pengumuman yang
mengesahkan bahawa dana MARA yang diselewengkan oleh individu-individu
tertentu ini telah dipulangkan kepada MARA. Dalam keadaan peruntukan
untuk membiayai program pendidikan MARA dipotong mendadak sehingga
biasiswa MARA dihapuskan dan jumlah penerima pinjaman pendidikan
dikurangkan, kegagalan mendapatkan kembali dana MARA yang diselewengkan
ini adalah satu pengabaian tanggungjawab di pihak kerajaan dan UMNO.
Sebab itu saya berhak bertanyakan kepada Khairul Azwan Harun – sebagai
Naib Ketua Pemuda UMNO, apakah langkah-langkah yang telah beliau ambil
untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana yang diselewengkan ini
kerana jumlahnya besar dan dapat membantu ramai pelajar Bumiputra?
Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Pergerakan Pemuda UMNO
untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana ini? Sudahkan sebarang
tindakan diambil terhadap mana-mana anggota Pemuda UMNO yang dinamakan
secara khusus di dalam dokumen-dokumen rasmi dan transkrip perbicaraan
di Australia?
Jumlah yang diselewengkan bukanlah sedikit. Fakta-fakta berikut adalah
hasil dari pengumuman MARA sendiri, jawapan menteri di Parlimen atau
dokumen urusniaga yang dilaporkan secara meluas:
1. Sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Ltd telah dibeli
oleh MARA Inc dalam tahun 2014. Jumlah yang dibayar oleh MARA untuk
membeli Thrushcross Land Holdings Ltd adalah A$86.9 juta (bersamaan
RM260.7 juta) iaitu A$64.4 juta (bersamaan RM193.2 juta) bagi pembelian
syarikat dan A$22.5 juta (RM67.5 juta) untuk membayar hutang syarikat
itu. Jawapan ini diberikan oleh Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar
Bandar di Parlimen.
2. Thrushcross Land Holdings Ltd dimiliki oleh individu-individu yang
berkait dengan pimpinan Umno dan pemimpin dari kalangan Pemuda Umno.
Perkara ini saya huraikan dalam kenyataan media sayahttp://rafiziramli.com/2015/07/individu-terbabit-di-dalam-urusniaga-mara-perlu-tampil-memberi-penjelasan/
3. Thrushcross Land Holdings Ltd membeli dua bangunan asrama pelajar
pada harga yang jauh lebih rendah iaitu Unilodge Swanston Street pada
harga A$23.5 juta (bersamaan RM70.5 juta) dan Dudley House pada harga
A$22.6 juta (bersamaan RM67.8 juta). Jumlah kos pembelian dua asrama
pelajar ini hanyalah A$46.1 juta sedangkan syarikat itu dijual pada
harga A$64.4 juta kepada MARA Inc. Selain itu, MARA Inc juga mengambil
alih hutang Thrushcross Land Holdings Limited dengan WBC Finance dan WBC
Commercial Bill sebanyak A$22.5 juta.
4. Ini bermakna, MARA Inc bukan sahaja membeli 2 asrama pelajar itu pada
harga yang lebih mahal; malah ia juga membayar hutang yang digunakan
oleh pemilik Thrushcross Land Holdings Ltd ini untuk membeli 2 asrama
pelajar itu yang kemudiannya dijual kepada MARA Inc.
5. Akibat dari penyelewengan ini, MARA Inc terpaksa menjual kedua-dua
bangunan asrama ini dan hasrat penjualan itu telah diiklankan. Perunding
hartanah antarabangsa iaitu Colliers menganggarkan bahawa setiap satu
asrama itu bernilai A$30 juta pada harga semasa.
6. Maka, MARA Inc akan kerugian sebanyak A$26.9 juta (bersamaan RM80.7
juta) iaitu jumlah yang dibayar A$86.9 juta tolak bidaan pembeli pada
harga semasa A$60 juta.
7. Ini juga bermakna pemilik Thrushcross Land Holdings Limited iaitu
individu-individu yang berkait dengan pemimpin UMNO dan pemimpin dari
kalangan Pemuda UMNO ini memperolehi keuntungan durian runtuh sebanyak
A$40.8 juta (bersamaan RM122.4 juta).
8. Dari jumlah RM122.4 juta keuntungan atas angin itu, sebanyak A$4.75
juta (bersamaan RM14.25 juta) dibayar kepada syarikat-syarikat yang
berkaitan dengan individu dan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO.
Saya khuatir penyelewengan dana MARA yang membawa kesan besar kepada
pelajar Bumiputra ini didiamkan begitu sahaja dan dana yang
diselewengkan tidak dirampas dari individu-individu terbabit.
Oleh yang demikian, saya mencabar Saudara Khairy Jamaluddin atau Saudara
Khairul Azwan Harun atau kedua-duanya sekali berdebat mengenai
penyelewengan dana MARA ini untuk membuktikan bahawa Pemuda UMNO telah
menjalankan tanggungjawabnya menjaga dana awam Bumiputra tersebut.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan