Home » » Kurangkan makan ayam untuk elak kenaikan harga tidak munasabah - PPIM

Kurangkan makan ayam untuk elak kenaikan harga tidak munasabah - PPIM

Written By canang on Khamis, 14 Julai 2016 | 7/14/2016 12:54:00 PTG

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan orang ramai agar mengurangkan pengambilan ayam dalam usaha mengekang kenaikan harganya.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan menjelaskan langkah itu diyakini berkesan bagi menangani sikap peniaga dan pemborong yang menaikkan harga ayam pada kadar yang tidak munasabah pada setiap kali musim perayaan.

"Kita kena kurang makan ayam sebab kalau kita tidak beli ayam dua tiga hari sahaja, ia akan menjadi masalah kepada pembekal," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Beliau menyifatkan tindakan peniaga yang mengenakan sehingga lebih RM10 bagi sekilogram ayam sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

"Jadi kita perlu serius. Kalau tidak, jika naik harga juga, dan kalau kita bersedia untuk ditipu, maka kita jangan buat apa-apa.

"Tetapi, kalau kita nak lepaskan dari rantaian makanan ini, maka kita kena bijak," katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa kerajaan terutama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mengkaji secara berkesan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya pada setiap kali musim perayaan.

Pada masa sama, katanya, pihak berkaitan juga perlu serius dalam memberikan penjelasan kepada pengguna jika kenaikan harga tidak dapat dielakkan.

"Kita perlu serius seperti orang kata harga makanan (ayam) naik sebab harga jagung naik kerana ambil makanan import, selain alasan ringgit jatuh dan sebagainya.

"Jadi kita kena wujudkan makanan jagung yang dibuat orang tempatan dan di sinilah kementerian kena serius tentang perkara ini," kata Nadzim.
Justeru, katanya, pengguna perlu bijak membeli dan sentiasa peka dengan maklumat berkaitan harga bekalan barangan di pasaran.

"Kita boleh rancang juga sebenarnya, contoh, bela ayam supaya boleh disembelih semasa musim perayaan kerana benda ini boleh dirancang dengan baik," tambahnya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger