Anak lelaki petinju legenda, Muhammad Ali yang ditahan selama dua jam di lapangan terbang Florida baru-baru ini, mendakwa penahanan itu dibuat kerana dia seorang Islam. Portal hiburan TMZ memetik Muhammad Ali Jr sebagai berkata, dia kini mempertimbangkan kemungkinan untuk menyaman Jabatan Perbendaharaan dan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS) ekoran kejadian pada 7 Februari itu.
Katanya, insiden itu berlaku ketika dia dan ibunya, Khalilah Ali, isteri pertama Muhammad Ali baru tiba di lapangan terbang itu dari Jamaica sebelum mereka ditahan pegawai imigresen. Khalilah bebas daripada pemeriksaan itu bagaimanapun Ali Jr ditahan di sebuah bilik kecil dan disoal siasat selama dua jam. Jurucakap Ali Jr, Chris Mancini berkata, anak petinju itu ditanya dua kali sama ada dia seorang Islam dan dari mana dia mendapat namanya.
Ujar peguam itu, anak guamnya akan memfailkan tindakan saman terhadap jabatan itu dan percaya kes tersebut membayangkan isu yang lebih besar tentang diskriminasi dan profil individu. Insiden itu berlaku beberapa jam selepas hakim Mahkamah Persekutuan AS menangguhkan sekatan imigresen yang dibuat Presiden Donald Trump ke atas pelarian dan pendatang Islam ke negara ini.
Sementara itu, agensi Perlindungan Sempadan dan Kastam AS enggan mengulas lanjut berhubung kejadian melibatkan seorang penumpang sahaja tetapi menegaskan kesemua pengunjung ke negara ini yang tiba di lapangan terbang tertakluk kepada pemeriksaan jabatan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan