Home » » Mahkamah tolak rayuan keputusan AG tidak dakwa PM

Mahkamah tolak rayuan keputusan AG tidak dakwa PM

Written By canang on Rabu, 5 April 2017 | 4/05/2017 04:43:00 PTG

Mahkamah Rayuan menolak pemohonan rayuan tiga pihak untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menutup siasatan 1MDB dan keputusan tidak mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Semakan kehakiman itu dikemukan oleh Badan Peguam Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas pemimpin Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim itu dibuat selepas bersidang lebih lima jam melalui mahkamah terbuka tidak seperti prosiding mahkamah tinggi yang dilakukan di dalam kamar.
Menjelang akhir hujahnya, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mewakili Badan Peguam Malaysia, membuat rayuan kepada hakim sambil mengingatkan mereka bahawa kes 1MDB adalah skandal kewangan tahap antarabangsa.
"Kita adalah satu-satunya negara di mana - 1MDB berasal - tidak ada tindakan yang diambil berhubung dengan skandal kewangan keterlaluan ini. Ini bukan sahaja mengenai skandal tersebut tetapi juga sistem mahkamah jenayah kita.
"Kita mesti berhati-hati tidak untuk menutup pintu siasatan ketika seluruhan sistem kita sedang diteliti,” katanya.
Hakim Datuk Umi Kalthum Abd Majid berkata ketiga-tiga rayuan ditolak tanpa sebarang perintah mengenai kos.
"Keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi itu disahkan," katanya tanpa memberikan alasan bagi keputusan itu.
Hakim lain yang bersidang bersama adalah Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Abdul Rahman Sebli.
Pada 11 November tahun lalu, Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak permohonan ketiga-tiga perayu bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Mohamed Apandi yang menyatakan bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah berhubung dana RM2.6 bilion yang berada di dalam akaun bank peribadinya.
Beliau berpuas hati bahawa Peguam Negara mempunyai budi bicara yang luas berhubung kawalan dan arahan sama ada untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan pendakwaan jenayah di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger