Sebanyak RM80
juta daripada lebih 110,000 polisi insurans dan sijil takaful yang telah
matang tidak dituntut oleh pemilik atau waris sepanjang tahun 2016
kerana tidak dimaklumkan kepada ahli keluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas
Holdings Berhad, Kamaludin Ahmad berkata, kajian yang dilakukan oleh
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia
(MTA) menunjukkan bahawa ramai individu tidak memberitahu kewujudan
polisi insurans atau sijil takaful atas nama si mati kepada waris
mereka.
Jelas beliau, di Etiqa sahaja terdapat kira-kira RM13 juta nilai polisi atau sijil yang tidak dituntut.
“Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk
menghubungi semua waris yang terlibat, namun sebahagian mereka tidak
mengemas kini maklumat peribadi seperti nombor telefon dan alamat
sehingga menimbulkan sedikit kesulitan.
“Etiqa secara proaktif cuba mengesan waris-waris
melalui penubuhan pasukan khas yang ditugaskan untuk mengenal pasti
pemilik polisi atau sijil yang telah meninggal dunia dengan menjalankan
carian secara sistematik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Kamaludin, jumlah polisi dan sijil yang
tidak dituntut memberi pengajaran dan kesedaran kepada generasi akan
datang supaya tidak terbeban untuk mengenal pasti manfaat insurans atau
takaful yang tidak dituntut.
Katanya, Etiqa mahu menangkis persepsi negatif
umum bahawa syarikat insurans dan takaful hanya berminat untuk mengutip
premium serta sumbangan tetapi keberatan membayar tuntutan.
“Itu semua tidak benar dan kami teruja untuk
membayar tuntutan kepada para pelanggan. Dalam kebanyakan kes, tuntutan
sememangnya dibayar kerana dapat meringankan beban kehidupan pemegang
polisi dan waris mereka.
“Jika pelanggan dilindungi oleh polisi insurans
atau sijil takaful, maklumkan kepada ahli keluarga dan berikan sebanyak
mungkin maklumat kepada syarikat insurans atau takaful mengenai
waris-waris agar lebih mudah untuk kami menjejaki mereka,” ujarnya.
Para pelanggan Etiqa yang ingin mengetahui sama
ada polisi dan sijil mereka telah matang boleh daftar masuk ke laman
web www.etiqa.com.my/MyAccount/login atau hubungi Etiqa Oneline di
talian 1300-13-8888.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan