Home » » 1 MALAYSIA ERA NAJIB... Betul ke? UMNO tidak pernah tertekan.

1 MALAYSIA ERA NAJIB... Betul ke? UMNO tidak pernah tertekan.

Written By canang on Sabtu, 1 Ogos 2009 | 8/01/2009 07:39:00 PG

KUALA LUMPUR 31 Julai – UMNO tidak pernah merasa tertekan sehingga terpaksa mencari titik pertemuan dengan seteru politiknya untuk membentuk kerajaan campuran seperti digambarkan pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebaliknya menegaskan apa yang diutamakan oleh UMNO dalam hal ini adalah untuk mencari pendekatan bagi menyelesaikan masalah umat Islam demi kebaikan semua pihak.

‘‘Tidak, tidak. UMNO tidak rasa macam tertekan sehingga kita terpaksa melakukan usaha untuk mencari titik pertemuan seperti pembentukan kerajaan campuran.

‘‘Tetapi apa-apa yang boleh membawa pada kepentingan umat Islam, penyatuan ummah, perpaduan rakyat Malaysia, itu adalah perkara-perkara yang baik yang akan kita usahakan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Presiden UMNO itu berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai gambaran yang diberi pembangkang kini seolah-olah parti itu tertekan untuk kekal berkuasa sehingga mengharapkan kerjasama dengan Pas.

Walaupun idea kerajaan perpaduan dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tahun lalu, namun pemimpin Pas kini memberi gambaran kononnya UMNO yang terdesak untuk bekerjasama dengan parti itu.

Beberapa pemimpin Pas tanpa silu menuduh UMNO mengharapkan kerjasama dengan parti itu bagi mengukuhkan kedudukan politiknya.

Najib berkata, dari segi prinsipnya, pendirian UMNO adalah konsisten iaitu menerima baik sebarang perbincangan ke arah penyatuan umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Katanya lagi, ini juga selari dengan pandangan sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang merasakan UMNO dan Pas wajar mengadakan perbincangan.

‘‘Pendirian UMNO adalah mahu kepada usaha yang boleh mendatangkan kebaikan. Oleh itu apa-apa perbincangan ke arah penyatuan umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya adalah diterima baik UMNO.

‘‘Apa yang berlaku selepas ini terpulang kepada keadaan, tetapi dari segi prinsip, maknanya UMNO konsisten dan kita tetap dengan pendirian sedemikian,’’ jelasnya.

Ditanya sama ada beliau akan menugaskan kepada mana-mana pemimpin bagi memulakan perbincangan berhubung perkara itu, Najib berkata;

‘‘Tak apalah.. Itu prinsipnya. Soal apa yang akan berlaku itu terpulang kepada keadaan,’’ ujarnya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger