Home » » NASIB 5,000 PEKERJA PADA KABINET

NASIB 5,000 PEKERJA PADA KABINET

Written By canang on Isnin, 27 Julai 2009 | 7/27/2009 12:10:00 PG


TELUK INTAN - Nasib lebih 5,000 pekerja bahagian pengurusan sisa pepejal pihak berkuasa tempatan (PBT) di utara semenanjung, kini bergantung kepada keputusan Kabinet bagi menangguhkan penswastaan bahagian itu di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Naib Presiden 1 Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa-penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae), Pissal Abu berkata, kebajikan pekerja pengurusan sisa pepejal akan terabai jika penswastaan itu dilaksanakan sebaliknya, beliau mahu pekerja-pekerja berkenaan diserap ke Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal.

Kata beliau, pertemuan telah dibuat pada 23 Julai lalu antara Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mempertimbangkan penangguhan penswastaan itu serta mempertimbangkan juga opsyen ketiga jika ia dilaksanakan.

“Perbincangan telah dibuat dan JPA akan membuat kertas laporan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dibentangkan kepada Kabinet agar masalah yang dikemukakan ini diselesaikan segera.

“Kita tidak mahu pekerja tertipu dan dianiaya oleh syarikat swasta yang hanya mengutamakan keuntungan semata-mata dan mereka tidak akan menjaga kebajikan pekerja,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Merasmikan Mesyuarat Anulae Cawangan Perak Selatan ke-12, di Dewan Rumah Rehat, di sini, semalam.

Beliau berkata, opsyen pertama jika penswastaan itu berlaku ialah, pekerja yang terlibat boleh berkhidmat terus dengan syarikat swasta yang mengambil alih pengurusan sisa pepejal itu selepas menamatkan perkhidmatan dengan PBT.

Katanya, opsyen kedua pula, pekerja yang telah berkhidmat dengan PBT yang terlibat boleh membuat keputusan untuk terus bersara daripada bekerja dengan pihak swasta yang akan menguruskan sisa pepejal itu.

Menurut Pissal, kedua-dua opsyen yang diberikan itu mempunyai klausa yang diragui kerana mereka boleh membuat pengurangan pekerja dan dengan kata lain, membuang pekerja disebabkan sakit dan sebagainya di dalam surat tawaran yang diberikan.

“Majoriti pekerja tidak berpuas hati dengan klausa di dalam surat tawaran itu kerana jaminan untuk mereka terus bekerja diragui dan kebajikan mereka juga belum tentu dijaga dengan baik oleh pihak syarikat itu,” katanya.

Kata beliau, mana-mana PBT yang belum mengesahkan jawatan pekerja kontrak dan menyerap pekerja sambilan ke jawatan tetap diharap dapat berbuat demikian dengan segera supaya apabila penswastaan itu berlaku, mereka tidak akan kehilangan separuh daripada pendapatan mereka.

Menurutnya, PBT perlu membantu mereka untuk mendapatkan gaji yang setimpal dengan perkhidmatan yang telah diberikan dan menganggap ia sebagai satu kebajikan untuk pekerja.

Sementara itu, Presiden Anulae Cawangan Perak Selatan, Mustafa Nazri Yahya berkata, tindakan yang dilakukan oleh Anulae bukan bermaksud untuk menentang atau mengugut pegawai atasan sebaliknya ia dilakukan semata-mata untuk menjaga kebajikan pekerja.

Beliau berkata, pihaknya mahu pegawai atasan membuka mata dan menyelami masalah yang dihadapi oleh pekerja bawahan kerana mungkin terdapat perkara yang tidak diketahui mereka.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger