SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM16 juta bagi bantuan kepada golongan fakir dan miskin di negeri ini sempena bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata kira-kira 21,000 golongan fakir dan miskin telah dikenal pasti untuk menerima bantuan itu bagi meringankan bebanan mereka.
Bantuan itu yang telah mula diagihkan sejak 4 Ogos lepas hingga 25 Ogos adalah dalam bentuk wang tunai antara RM500 dan RM1,000 setiap keluarga mengikut kelayakan masing-masing, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuiz Zakat& Fly anjuran LZS dengan kerjasama Air Asia Bhd di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad Adzib berkata kutipan zakat pendapatan di Selangor bagi tahun ini telah mencecah RM103 juta sehingga semalam iaitu meningkat RM12 juta berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Walaupun kelembapan ekonomi melanda negara sejak awal tahun ini ia tidak memberikan kesan kepada kutipan zakat di Selangor, ini merupakan perkembangan yang baik dan merupakan isyarat dakwah kita telah berjaya," katanya.
Mengenai Kuiz Zakat & Fly, Mohamad Adzib berkata pembayar zakat di negeri ini berpeluang memenangi hadiah berupa tiket penerbangan pergi dan balik ke beberapa destinasi terpilih seperti London, Australia, China, Bandung, Jakarta dan Bangkok.
Beberapa destinasi domestik termasuk Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang turut ditawarkan kepada pemenang, katanya.
Beliau berkata setiap bayaran zakat bernilai serendah RM10 layak menyertai kuiz itu yang bermula hari ini sehingga 31 Disember ini.
Borang penyertaan boleh didapati di semua kaunter LZS atau di laman web www.e-zakat.com.my. - Bernama
Home »
» Lembaga Zakat Selangor:RM16 juta sempena bulan Ramadan
Lembaga Zakat Selangor:RM16 juta sempena bulan Ramadan
Written By canang on Rabu, 12 Ogos 2009 | 8/12/2009 06:47:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan