Pemain-pemain bola sepak Selangor hari ini menerima ganjaran yang dijanjikan sebelum ini kerana menjuarai Liga Super musim ini.
Majlis penyerahan cek bernilai RM456,750.00 telah disampaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Setiausaha Agungnya,Hamidin Mohd Amin dalam satu majlis berbuka puasa bersama para media dan badan-badan bukan kerajaan(NGO), di kediaman rasmi Menteri Besar,di Seksyen 7,Shah Alam petang tadi.
Bercakap kepada media semasa majlis tersebut, Tan Sri Khalid berkata pemberian sumbangan kepada pemain dan pegawai pasukan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka sehingga berjaya meraih kejayaan Liga Super tahun ini.
"Kita berharap ini adalah sumbangan untuk merangsangkan mereka dan ini kita telah janjikan bersama dengan jawatankuasa pengurusan FAS yang apabila pasukan kita menang kita akan menjanjikan hadiah-hadiah saguhati untuk kemenangan mereka", katanya yang berharap kejayaan tahun ini menjadi pemangkin kepada persatuan untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada tahun depan.
Dalam masa yang sama, Tan Sri Khalid yang juga presiden persatuan mengingatkan setiap pemain bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga peminat bola sepak pasukan ini sentiasa memantau perkembangan dan kebolehan setiap pemain.
"Ini adalah satu daripada permintaan baginda Sultan supaya pemain-pemain kita menunjukkan permainan yang terbaik dalam pertandingan Malaysia Cup kali ini"katanya.
Ditanya pemberita sama ada ganjaran lebih besar menanti pasukan ini jika mereka menjulang Piala Malaysia tahun ini, Tan Sri Khalid berkata beliau akan melihat cadangan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan