PORT DICKSON – Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya menggunakan isu anak tempatan dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kerana terbukti sebelum ini di kawasan lain bahawa orang luar turut berjaya membawa pembangunan di kawasan yang diwakili mereka.
Menurut calon Pas, Zulkefly Mohd Omar, isu ini tidak harus ditimbulkan dan digunakan BN kerana beliau adalah anak jati kelahiran Negeri Sembilan sedangkan lawannya, Tan Sri Mohd Isa Samad sebenarnya lahir di Melaka.
“Saya lahir di Negeri Sembilan, maka saya adalah anak tempatan di sini, saya ada ramai keluarga di Bagan Pinang termasuklah datuk saya, jadi kenapa BN menggunakan isu saya orang luar sebagai modal kempen mereka? Oleh itu isu anak tempatan tidak perlu dan bukannya isu.
“Beliau (Isa) mengatakan bahawa Bagan Pinang adalah kampung beliau, jadi kenapa beliau tidak bertanding di sini sejak dulu, kenapa beliau berkata demikian setelah dipilih BN untuk bertanding di sini?,” katanya kepada wartawan Sinar Harian semalam.
Selain itu, beliau turut menjelaskan Isa datang ke Bagan Pinang untuk mendapatkan sokongan setelah di sisihkan oleh UMNO kerana terlibat dalam politik wang sehingga dikenakan hukuman digantung keahlian UMNO selama tiga tahun.
Zulkefly yang juga Ketua Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan turut mendedahkan ketika wabak Japanese Encephalitis (JE) melanda Bukit Pelanduk pada tahun 1999 dahulu, Isa yang juga Menteri Besar tidak turun berjumpa dengan rakyat yang dilanda bencana.
“Beliau tidak turun langsung, tetapi saya pada ketika itu turun membantu penduduk yang menghidapi bencana JE,” katanya.
Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian ADUN BN, Azman Mohammad Noor pada 4 September lepas sekaligus Suruhanjaya
Pilihan Raya menetapkan 11 Oktober sebagai hari pembuangan undi.
Pada pilihan raya umum tahun lepas, Azman telah mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan