Home » » Nizar News;18 GRO asing dicekup sedang asyik melayan pelanggan minum dan menari

Nizar News;18 GRO asing dicekup sedang asyik melayan pelanggan minum dan menari

Written By canang on Ahad, 8 November 2009 | 11/08/2009 07:58:00 PTG


Lapan belas wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) sedang asyik melayan pelanggan minum dan menari ketika dicekup Jabatan Imigresen dalam `Ops Sayang' di sebuah pusat karaoke dan disko, di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan jam 4.30 pagi itu, 17 GRO warga Thailand dan seorang China berusia antara 21 hingga 44 tahun ditahan selepas menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Zulfikar Ahmad, berkata beliau bersama dua anggotanya terpaksa menyamar sebagai pelangggan dan memasuki premis berkenaan sebelum berpura-pura menari di pentas tarian yang disediakan pemilik pusat hiburan itu.
"Saya terpaksa menyamar sebagai pelanggan dan menari bersama puluhan pengunjung yang sedang leka menari dan minum. Beberapa minit selepas itu, saya memberi isyarat kepada anggota supaya bersiap sedia mengepong dan mengunci pintu belakang sebelum kami membuat pemeriksaan.
“Beberapa GRO dan pelanggan cuba melarikan diri namun gagal kerana kami sudah mengunci pintu depan dan belakang premis berkenaan," katanya yang ditemui selepas mengetuai Ops Sayang di sini, semalam.
Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 23 wanita warga asing yang bekerja di premis berkenaan selain menahan seorang lelaki iaitu pemilik premis berusia 46 tahun kerana membenarkan pendatang asing tanpa izin berada di dalam premisnya.

"Daripada jumlah itu, 18 GRO ditahan kerana memasuki negara ini tanpa permit sah manakala lima lagi warga asing dibebaskan kerana mempunyai permit dan berkahwin dengan lelaki tempatan.
"Operasi dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan pengusaha pusat hiburan terbabit yang menggunakan khidmat GRO warga asing tanpa permit," katanya.
Mohd Zulfikar berkata, pihaknya melakukan risikan dan intipan terlebih dulu sejak Rabu lalu sebelum memutuskan untuk menyerbu pusat karaoke dan disko berkenaan.
Katanya, semua pendatang terbabit ditahan mengikut Peraturan 39 (b) Akta Imigresen kerana menyalah guna pas lawatan sosial. Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Pemilik premis pula ditahan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau tidak lebih RM30,000 bagi setiap seorang pendatang yang dilindungi atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali.


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger