
KUALA LUMPUR: “Saya nak balik tapi mahu suami ada bersama. Saya sayangkan dia dan sayangkan anak kami yang sedang saya kandungkan sekarang,” kata Salsabila Yunan, 15.
Artis remaja yang dikenali sebagai Bella itu berada di Kampung Bara Bali, Lombok Tengah, Indonesia, sejak tiga bulan lalu, berkata dia berbahagia bersama suaminya, Hafiz Sukma, 25.
Dalam perbualan telefon dengan wartawan Harian Metro malam tadi, Bella menyatakan pengharapan semoga semua pihak dapat menerima kenyataan dia kini isteri orang yang sedang hamil dua bulan.
Biarpun begitu dia mengakui terlalu rindukan bapanya Yunan Mat Ayat, 77, dan rasa berdosa meninggalkan bapanya yang uzur.“Tunggulah reda dulu, mungkin bukan sekarang (pulang ke Malaysia). Saya keliru dan bimbang jika pulang bersama suami nanti ada pihak pula cuba memisahkan kami. “Kasihanilah anak dalam kandungan saya ini...dia tidak berdosa untuk hidup tanpa ayahnya (Hafiz) yang saya nikahi pada bulan puasa lalu.
“Kepada ayah (Yunan)...saya memohon maaf, sesungguhnya saya rindukan ayah sejak hari pertama saya di sini (Lombok),” katanya.
Dia juga memberitahu kehidupannya tidaklah susah seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Ayah mungkin tersilap dengar, saya memberitahunya ketika menelefon, saya berada di sawah...bukannya bekerja di sawah. Ketika itu sebenarnya saya sedang mencari ketenangan di sawah milik mentua.
“Saya dilayan sangat baik oleh keluarga mentua, malah mereka juga tidak sabar untuk berjumpa ayah,” katanya.
Menurutnya, dia bersama suami dan keluarga mentua juga membuat kenduri tahlil untuk bapanya itu semoga dipanjangkan umur serta sihat walafiat.
Bella berkata kenduri tahlil dan doa selamat termasuk untuk arwah ibunya, Zainab Ali itu dibuat baru-baru ini atas permintaannya kerana terlalu merindui mereka.
Kisah Bella dilaporkan Harian Metro pada 31 Oktober lalu apabila Yunan mengadu kehilangannya dipercayai dilarikan seorang lelaki penduduk asal Pulau Lombok dikenali sebagai Hafiz ke Kampung Bara Bali, Lombok Tengah.
Susulan itu, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat Migrant Care serta Kijang Care bersedia membantu menyelamatkan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Batu Muda di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan