Home » » Beribu-ribu Pelarian dibelasah dan dipaksa pulang dengan berenang ke negara asal.

Beribu-ribu Pelarian dibelasah dan dipaksa pulang dengan berenang ke negara asal.

Written By canang on Jumaat, 19 Februari 2010 | 2/19/2010 09:20:00 PTG


BANGKOK: Beribu-ribu pelarian dari Myanmar dibelasah dan dipaksa pulang ke negara asal mereka oleh pihak berkuasa Bangladesh, kata sebuah kumpulan perubatan antarabangsa.
Kira-kira suku juta kaum etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar, atas alasan mereka dikenakan tindakan kejam oleh rejim tentera yang memerintah.
"Mereka mengadu dibelasah oleh polis di negara berkenaan," kata Paul Critchley, yang mengetuai Medecins sans Frontieres di Bangladesh.

"Pesakit kami memberitahu dalam kes tertentu, mereka diserahkan kepada pasukan keselamatan sempadan, dibelasah dan dipaksa berenang balik ke arah Myanmar."
Pihak berkuasa Bangladesh menolak tuduhan itu, kata Sakhawat Hossain, seorang pegawai kanan polis, yang menambah bahawa pihak berkuasa hanya menjalankan operasi biasa bagi menahan rakyat asing yang masuk secara haram.

Sakhawat berkata 500 warga Myanmar ditahan antara pertengahan November dan 15 Februari lalu.
Sebahagian besar golongan Rohingya bertumpu di kawasan Bazar Cox yang sesak di sempadan Myanmar. Sejak Oktober tahun lalu, lebih 6,000 orang sudah tiba di sini dan tinggal di khemah sementara.

Medecins sans Frontieres berkata 28,000 pelarian tinggal di khemah rasmi di bawah penyeliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diiktiraf sebagai pelarian oleh Bangladesh. Tetapi kira-kira 220,000 lagi tidak mempunyai status pelarian.

"Mereka boleh dipaksa keluar pada bila-bila masa, jadi mereka menjaga rapat keluarga masing-masing. Mereka hidup di ruang yang lebih besar sedikit saja daripada bilik mandi yang dihuni oleh enam atau tujuh orang, dan di sebelahnya sebuah lagi bilik mandi, menjadikan dua keluarga tinggal dalam ruang sempit ini," kata seorang kakitangan agensi, Vanessa Van Schoor.


Satu laporan yang dikeluarkan awal minggu ini daripada kumpulan penyokong Rohingya, The Arakan Project, berkata tindakan sememangnya dilancarkan sejak bulan lalu.

Status Rohingya di Myanmar tidak menentu kerana mereka tidak memegang kewarganegaraan penuh. � AP



Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger