
Isteri Menteri Perisikan Afrika Selatan semalam dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengupah wanita untuk menyeludup dadah ke negara itu Sheryl Cwele (gambar) yang juga pegawai kanan kerajaan tempatan akan ditahan sehingga permohonan ikat jamin yang akan mengambil masa beberapa minggu.
Wanita berusia 50 tahun itu menghadapi tuduhan bersama-sama seorang lelaki Nigeria yang ada hubungan mendapatkan khidmat dua wanita untuk menyeludup kokain dari Turki dan Amerika Selatan.
Seorang wanita yang mendakwa dia diupah secara langsung oleh Sheryl akan menjadi saksi utama, kata pendakwa raya.
Parti pembangkang, Pakatan Demokratik mendesak suami Sheryl, Siyabonga Cwele, dibicarakan di Parlimen dan menimbang semula jawatannya.
Mereka mendakwa Sheryl mungkin mengambil kesempatan terhadap kedudukan suaminya untuk mendapatkan maklumat bagi melindungi kegiatannya.

Cwele bagaimanapun berkata, dia tidak tahu menahu mengenai sebarang kegiatan penyeludupan dadah.
Sheryl ditangkap beberapa bulan selepas siasatan oleh sebuah akhbar tempatan yang mengaitkan dia dengan seorang wanita yang dipenjarakan di Brazil selepas ditangkap bersama-sama 9.2 kilogram kokain bernilai RM1.6 juta .
Mahkamah Tinggi di Pietermaritzburg diberitahu, Sheryl ditangkap di pejabatnya Jumaat lalu dan menghadapi tiga tuduhan bersama rakyat Nigeria, Frank Nabolis.
Mereka dituduh mengupah seorang wanita, Charmaine Moss untuk mengambil dadah di Turki dan seorang lagi, Tessa Beetge yang diupah untuk mengambil bahan itu di Amerika Selatan.
Pendakwa raya berkata, mereka akan menentang sebarang permohonan untuk mendapatkan ikat jamin.
Dalam kenyataannya, Pakatan Demokratik berkata: “Perkembangan yang berlaku menimbulkan beberapa persoalan penting berhubung jawatan Cwele.
“Kami percaya beliau perlu membuktikan beliau tidak akan bertolak ansur dengan perkara ini. “Jika gagal, beliau perlu meletak jawatan.” - Agens
Tiada ulasan:
Catat Ulasan