Home » » Permohonan Ong Tee Keat Didengar 27 April

Permohonan Ong Tee Keat Didengar 27 April

Written By canang on Rabu, 24 Februari 2010 | 2/24/2010 01:17:00 PTG


Mahkamah Tinggi akan mendengar pada 27 April ini permohonan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing daripada terus mengeluarkan pernyataan yang dianggapnya sebagai memfitnah beliau dalam kes saman fitnah RM500 juta yang difailkannya terhadap Tiong.

Permohonan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Sivil 2 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Hartini Abdul Hamid hari ini.

Peguam Ronnie Tan mewakili Ong manakala peguam Prem Ramachandran mewakili Tiong.

Ong dalam permohonan bagi perintah injunksi itu berkata antara alasan beliau membuat permohonan itu ialah kerana beliau adalah seorang pemimpin negara dan Barisan Nasional yang memegang jawatan Presiden MCA dan juga ahli parlimen.

Beliau berkata pernyataan fitnah itu telah diterbitkan dengan niat jahat oleh Tiong bertujuan menghalang penyiasatan yang adil dan betul terhadap penyalahgunaan kewangan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ong mendakwa pernyataan fitnah itu yang merujuk kepadanya adalah tidak berasas, tidak benar dan bersifat fitnah yang memudaratkan dan merosakkan reputasi, imej dan nama baiknya.

Pada 24 Ogos tahun lepas, Ong memfailkan saman itu terhadap Tiong, yang juga Anggota Parlimen Bintulu dan Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional, mendakwa Tiong telah mengeluarkan kenyataan memfitnah kononnya Tiong memberi RM10 juta kepadanya, yang telah disiarkan dalam laman web Malaysiakini
pada 12 Ogos tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ong berkata kenyataan itu tidak benar dan beliau mahu Tiong menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kepadanya dengan permohonan maaf itu disiarkan dalam semua akhbar utama.

Beliau juga memohon ganti rugi teruk dan teladan dan injunksi untuk menghalang Tiong atau ejennya daripada terus mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung isu itu.


Ong mendakwa kenyataan itu dibuat dengan niat jahat untuk menghalang penyiasatan yang adil dan betul terhadap penyelewengan dana oleh PKFZ dan peranan Kuala Dimensi dalam perkara itu.

Kuala Dimensi ialah kontraktor pasang siap bagi projek PKFZ yang turut disiasat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Ong berkata melalui surat bertarikh 13 Ogos 2009, beliau menuntut Tiong, untuk menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf tetapi sehingga kini Tiong enggan berbuat demikian.-Bernama


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger