
Bekas eksekutif syarikat telekomunikasi yang berjaya menjadi jutawan segera hasil daripada sindiket pengedaran kandungan pornografi untuk telefon mudah alih, ditahan polis semalam.
Suspek berumur 34 tahun itu dipercayai berjaya mengumpulkan hasil jualan sebanyak RM11 juta menggunakan syarikatnya sejak beberapa tahun lalu.
Beliau ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman jam 10 malam tadi.
Ketika tangkapan dibuat, suspek berada di rumah bersama keluarganya di Putra Heights, di Subang Jaya. Penahanan itu dibuat berasarkan satu laporan polis dibuat minggu lalu berhubung kegiatan yang dijalankan beliau hingga menghasilkan pendapatan berjuta ringgit.
Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit adalah pengelola jualan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan klip video pornografi sepanjang tiga minit kepada pelanggan telekomunikasi mudah alih.
Difahamkan lelaki itu mengenakan caj RM3 bagi setiap SMS yang dihantar kepada pelanggan sejak beroperasi beberapa tahun lalu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan