Home » » Setiausaha Politik Menteri Kanan Ditahan Bersama Wang Tunai RM2j

Setiausaha Politik Menteri Kanan Ditahan Bersama Wang Tunai RM2j

Written By canang on Ahad, 14 Februari 2010 | 2/14/2010 08:12:00 PTG


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha politik kepada menteri kanan bersama longgokan wang tunai lebih RM2 juta.

Wang tunai itu ditemui dalam longgokan wang RM5, RM10, RM50 dan RM100. Difahamkan pegawai SPRM dari Putrajaya yang menyerbu sebuah pangsapuri di Teluk Air Tawar pukul 3.30 petang kelmarin, turut merampas kenderaan pacuan empat roda yang didaftarkan di bawah nama sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Tikus dekat sini.

Turut disita ialah sebuah kereta BMW yang didaftarkan di bawah nama individu dari Sarawak.

Tidak dapat dipastikan dari mana suspek memperoleh wang tunai sebanyak itu dan tujuan menyimpannya.

Sebelum ini, akaun bank suspek telah dibekukan bagi tujuan siasatan SPRM.

Pada 13 Disember lalu, The Star melaporkan bahawa SPRM menyiasat seorang setiausaha politik yang dikatakan mengumpulkan berjuta-juta ringgit nilai hartanah dalam tempoh yang singkat.

Pegawai penyiasat juga memperoleh arahan untuk menahan dan membekukan beberapa hartanah termasuk kereta dan rumah mewah bagi membantu siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.


Laporan itu turut menyebut, suruhanjaya itu menyita sekurang-kurangnya empat kereta mewah dan empat rumah mewah yang dipercayai milik setiausaha politik berkenaan yang berusia 30-an.

Selain itu, SPRM turut menyiasat pembelian beberapa hartanah di sekitar Lembah Klang yang dikatakan sebagai balasan meluluskan beberapa projek bernilai jutaan ringgit.

Laporan yang memetik sumber itu memberitahu, pegawai penyiasat turut mengenal pasti beberapa individu berkaitan kes terbabit dan akan memanggil mereka membantu siasatan tidak lama lagi.

Sumber itu memberitahu, satu pasukan khas dari ibu pejabat SPRM Putrajaya mula menyiasat kes berkenaan selepas mendapat maklumat bahawa setiausaha politik itu hidup mewah di luar kemampuannya.

Difahamkan bahawa siasatan berkenaan di antara kes-kes berprofail tinggi yang sedang dibongkar hasil maklumat dan laporan daripada orang ramai.

Dalam pada, menurut sumber itu, pegawai kanan menteri itu mula dijejaki selepas dakwaan bahawa dia memiliki hartanah hasil peranannya sebagai orang tengah dalam projek-projek bernilai jutaan ringgit.

Suspek dipercayai membeli kesemua hartanah menggunakan proksi.

Pengarah SPRM negeri, Latifah Md Yatim tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan tangkapan tersebut.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger