Home » » Bekas pemain sepak takraw wanita kebangsaan ditahan edar dadah

Bekas pemain sepak takraw wanita kebangsaan ditahan edar dadah

Written By canang on Selasa, 23 Mac 2010 | 3/23/2010 06:22:00 PTG

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pemain sepak takraw wanita kebangsaan ditahan bersama kekasihnya dan dua lagi rakannya yang juga pasangan kekasih dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Cherong Lanjut di sini malam Ahad lalu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, wanita berumur 20 tahun yang juga pernah mewakili Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2008, ditahan kira-kira jam 11 malam ketika sedang menunggu pelanggan bersama rakan-rakannya itu. "Hasil pemeriksaan di dalam bilik (hotel) itu, polis menemui 34 biji pil kuda bernilai RM1,190 dan turut merampas wang tunai dipercayai hasil jualan dadah bernilai RM350,"

katanya dalam persidangan media di sini hari ini. Katanya, tiga lagi yang ditahan dalam serbuan itu ialah dua lelaki yang juga penganggur berumur 25 dan 26 tahun, serta seorang wanita yang bekerja sebagai kerani, 23, yang kesemuanya berasal dari sekitar Kuala Terengganu. Menurut Roslan, kesemua mereka juga didapati positif dadah dan siasatan awal mendapati mereka terbabit dengan kegiatan itu dengan menjadikan bilik hotel sebagai tempat operasi. Beliau berkata, polis juga dimaklumkan oleh Majlis Sukan Negara dan Pengurus Sukan Sukma negeri bahawa bekas pemain sepak takraw wanita itu tidak lagi menyertai Majlis Sukan Terengganu mahupun mewakili negara sejak tiga bulan yang lalu.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM20,000 serta dirotan tidak lebih tiga sebatan. Sementara itu, dalam satu lagi serbuan yang dijalankan setengah jam kemudian, polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun dan dua wanita berumur 18 dan 20 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Ismail di sini kerana disyaki mengedar dadah heroin. "Dalam serbuan itu, polis terpaksa menendang pintu bilik hotel berkenaan setelah mereka enggan membuka pintu apabila diminta berbuat demikian dan selepas melakukan pemeriksaan, polis telah menemui dua botol plastik yang mengandungi dadah jenis heroin bernilai kira-kira RM2,800,

" katanya. Katanya, ujian air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah dan wanita yang berumur 18 tahun yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan menagih dadah. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39(A) (1) ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak kurang dua tahun penjara tetapi tidak lebih lima tahun dan diwajibkan sebatan rotan antara 3 hingga 9 kali. Kesemua tertuduh bagi kedua-dua kes ditahan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan. Roslan berkata, polis juga sedang menyiasat taktik terbaru sindiket pengedaran dadah di negeri ini dengan menjadikan hotel serta homestay sebagai tempat operasi mereka. Sehubungan itu, beliau meminta pengusaha homestay serta hotel supaya sentiasa menyalurkan maklumat jika mengesyaki sebarang kegiatan tidak sihat dilakukan oleh pelanggan di premis mereka.



Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger