Home » » Konsert Suatu Masa...Amy bakal ke Singapura

Konsert Suatu Masa...Amy bakal ke Singapura

Written By canang on Sabtu, 27 Mac 2010 | 3/27/2010 06:00:00 PTG

KETIKA ini, perasaan ikon rock negara ini bercampur-baur sementelah Konsert Suatu Masa...Amy akan membuka tirainya secara rasmi malam ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Dalam gembira, ada gementarnya. Itulah luahan jujur Amy sewaktu bertemu dengannya usai majlis doa selamat yang diadakan di IB, petang Selasa lalu.

Katanya, untuk sepanjang seminggu yang lalu, dia akui, ada kala tidurnya tidak tenang memikirkan konsert mega selama tiga malam tersebut.

Apatah lagi, Konsert Suatu Masa...Amy bukan sembarangan konsert yang pernah dijayakan sebelum ini baik secara solo mahupun bersama Search.

Tetapi, dia mengambil sikap optimis serta tidak mahu mengusutkan mindanya kerana bimbang akan menimbulkan rasa tertekan apabila beraksi di atas pentas nanti.

"Saya memang berdebar untuk melihat reaksi daripada peminat yang akan menonton persembahan saya kelak.

"Bagi saya, konsert ini merupakan sebuah medan perjuangan saya yang baru dan itulah yang saya mahu peminat-peminat saya rasakan sepanjang konsert ini nanti.

"Apa yang boleh saya katakan, konsert ini juga menyaksikan sisi lain saya sebagai seorang penghibur yang saya sendiri belum pernah lakukan sebelum ini," ujarnya penuh harapan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, pengarah persembahan Konsert Suatu Masa… Amy, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy serta krew produksi konsert tersebut.

Mengulas lanjut persembahannya, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman memberitahu, dia sangat teruja apabila buat pertama kali bermonolog di pentas.

Pada mulanya apabila dikehendaki untuk berbuat demikian Amy menjadi bingung seketika.

Manakan tidak, sebelum ini Amy hanya melontarkan vokalnya.

Tetapi untuk melakukan sesuatu yang belum pernah diterokainya sebelum ini merupakan cabaran untuknya.

Untuk itu, pelantun lagu Kerja Gila dan Tiada Lagi ini berterima kasih kepada Ogy yang memberikan tunjuk ajar kepadanya.

"Rasanya tanpa bimbingan Ogy, saya tidak mampu melakukan seperti mana yang dikehendakinya.

"Memang pada mulanya, saya sedikit kekok dan berasa sukar untuk melakukan adegan monolog tersebut kerana perlu menukar mood mengikut jalan cerita itu sendiri.

"Tetapi selepas latihan demi latihan yang dilakukan, semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang dan dimahukan oleh Ogy," jelasnya.

Amy akan meluahkan isi hati dan jiwanya menerusi monolog yang akan menceritakan tentang nama-nama wanita yang pernah menjadi judul lagu nyanyian Amy.

Untuk itu, nama-nama yang akan diagungkan Amy dalam persembahan ini ialah Isabella, Nigina, Laila (dari lagu Laila Namamu Teratas) dan Rozana.

Pastinya, Amy juga akan mendendangkan lagu-lagu tersebut sebaik selesai setiap monolog yang disampaikan.


Dalam perkembangan lain, anak jati Johor ini juga memberitahu, dia terpaksa menangguhkan pembedahan kecil yang harus dilakukannya pada 24 Mac lalu.

Semuanya gara-gara kesakitan di belakang lehernya yang mula dikesan sejak beberapa bulan lalu.

Biarpun tidak begitu serius, Amy tidak mahu mengambil risiko untuk melakukan pembedahan tersebut kerana tidak mahu menjejaskan tumpuan dan fokusnya untuk konsert solo pertamanya di IB itu.

"Saya sudah pun berbincang dengan doktor dan bersetuju untuk melakukan pembedahan selepas berakhirnya konsert ini nanti.

"Buat masa ini, kesihatan saya baik dan stabil. Insya Allah, saya akan memberikan persembahan terbaik untuk peminat-peminat saya nanti," kata Amy sambil tersenyum.

Pada masa yang sama, Amy juga sudah boleh menarik nafas lega apabila tiket-tiket Konsert Suatu Masa...Amy begitu laris sehingga tinggal sekitar 20 peratus sahaja lagi.

Bukan itu sahaja, 1,000 keping tiket tambahan untuk persembahan malam raptai penuh semalam (25 Mac) juga habis dijual dalam masa yang singkat.

Biarpun masih lagi tidak mendapat sebarang penajaan untuk konsertnya itu, Amy menganggapnya sebagai kejayaan awal untuknya.

"Apa yang buat saya lebih gembira dan teruja apabila konsert ini akan dipentaskan di Esplanade, Singapura biarpun mereka hanya akan menonton konsert ini esok (27 Mac)," katanya dalam nada bersyukur.

Sementara itu, Ogy yang ditemui pula berkata, dia berpuas hati dengan komitmen Amy untuk konsert ini.

Jelasnya, legenda rock unggul itu memang bersungguh-sungguh menjalani latihan dan memberikan sepenuh fokusnya untuk konsertnya itu.

"Apa yang saya suka tentang Amy ialah dia mahu terus belajar dan memberikan yang terbaik seperti mana yang saya mahukan.

"Memang banyak tunjuk ajar dan bimbingan yang saya berikan kepadanya kerana dia bukanlah individu yang memang dilahirkan sebagai seorang aktor.

"Dia memang seorang yang penyabar dan menerima segala-gala input yang saya berikan untuk dicurahkan kepada persembahan ini," ujar aktres dan pengarah ternama ini melahirkan kekagumannya terhadap kesungguhan Amy.

Menyedari Amy bukan seorang aktor profesional, dia melakukan latihan peringkat demi peringkat agar Amy mudah menerima segala maklumat yang diberikan kepadanya.

Ogy turut menganggap tugasnya sebagai pengarah persembahan konsert ini sebagai satu cabaran baru yang harus digalasnya.Klik Sini



Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger