Home » » Maut ditikam lepas solat Jumaat

Maut ditikam lepas solat Jumaat

Written By canang on Sabtu, 6 Mac 2010 | 3/06/2010 06:26:00 PTG


PENGKALAN CHEPA: Babak pertengkaran beberapa individu selepas menunaikan solat Jumaat membawa tragedi memilukan apabila seorang daripadanya maut ditikam dalam kejadian di depan sebuah masjid di Taman Uda Murni di sini, semalam.
Kejadian jam 2 petang itu, menyebabkan mangsa yang juga seorang bekas kontraktor, Ruslim Ab Rahman, 52, cedera parah di leher sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa gagal selepas disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan sebelum mayatnya dihantar ke bilik mayat hospital untuk bedah siasat.

Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku selepas mangsa bertengkar dengan beberapa individu di hadapan Masjid Al-Taqwa, Taman Uda Murni, dekat sini, selepas menunaikan solat Jumaat.
Namun tidak dapat diketahui motif sebenar kejadian itu sebelum mangsa ditikam di leher menyebabkan orang ramai mengerumuni lokasi kejadian.


Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian petang semalam mendapati dua kenderaan polis di kawasan terbabit, namun keadaannya terkawal berbanding ketika kejadian berlaku.

Lebih menyedihkan apabila ibu mangsa, Kamariah Ismail, 69, yang menunggu jenazah anaknya di bilik mayat HRPZ II hampir pengsan sebelum ditenangkan ahli keluarga terdekat.

Menceritakan kejadian menimpa anak sulungnya, Kamariah berkata, dia terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kematian anaknya itu petang semalam sejurus dihubungi jam 4 petang.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu kira-kira jam 10 pagi sebelum arwah yang lengkap berbaju Melayu biru dan berkopiah putih beredar meninggalkan kediamannya di Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat.


“Memang mak cik tidak menyangka kejadian ini akan menimpa arwah. Pagi tadi arwah datang ke rumah seperti biasa, namun dia hanya singgah sebentar dan meminta maaf daripada mak cik.

“Mak cik tidak terfikir perkara pelik akan berlaku, meskipun sedar sikapnya yang enggan masuk ke rumah serta menjamah makanan di dapur berbanding perangainya sebelum ini,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HRPZII, semalam.

Menurutnya, dia bagaikan tidak percaya akan kehilangan anak sulungnya itu selepas dimaklumkan anak ketiganya dari Kuala Lumpur yang memberitahu kejadian menimpa abangnya itu.

“Petang itu (semalam), selepas selesai menunaikan solat Zuhur, mak cik melelapkan mata. Tiba-tiba mak cik dikejutkan deringan telefon sebelum berbual dengan anak bongsu, Rosila Abd Rahman, 39.

“Dalam keadaan ‘mamai’ selepas bangun tidur, anak saya memaklumkan kejadian menimpa abangnya selepas ditikam sebelum mak cik meminta bantuan anak saudara untuk melihat mayatnya di hospital,” katanya.

Katanya, dia tidak mengetahui motif kejadian kerana tidak mengetahui perkara sebenar menimpa arwah anaknya itu, selain masih dalam keadaan terkejut.

“Mak cik cuma dimaklumkan arwah anak terbabit pertengkaran depan masjid, tetapi tidak mengetahui punca sebenar, selain mengetahui dia mati akibat tikaman di leher.

“Tiga bulan lalu, arwah ada memberitahu dia akan meninggal lebih awal daripada mak cik dan kata-katanya itu menyebabkan mak cik sebak sebelum memberitahunya ajal maut di tangan Tuhan,” katanya.

Katanya, sebaik selesai bedah siasat dilakukan jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar, gagal dihubungi untuk mendapatkan pengesahan berhubung kejadian itu.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger