Home » » Aziz Kahwin Untuk Berteman, Bukan Isteri

Aziz Kahwin Untuk Berteman, Bukan Isteri

Written By canang on Khamis, 22 April 2010 | 4/22/2010 08:00:00 PG

Aziz dan Puteri Lily semasa Anugerah Skrin tahun lalu.

SEBELUM bulan puasa tahun ini, produser, pengarah dan pelakon terkenal Aziz M. Osman, 48, nekad untuk menamatkan zaman dudanya. Lantas dia memilih tarikh 6 Jun depan untuk bernikah dengan Puteri Sarbainun Lokman, 21, yang kini menjadi tunangannya.

Pasangan itu bertunang pada 18 April lalu di Taman Legenda Mas, Cheras setelah hampir setahun berkenalan.

Semuanya terdetik sekembalinya pulang dari mengerjakan umrah pada 1 hingga 14 Mac lalu. Dari situ, duda beranak enam itu memikirkan tentang hidupnya yang penuh dengan godaan dan cabaran.

“Saya mendapat hidayat untuk melamar Puteri Lily selepas balik dari umrah. Lepas tu, saya terus meminta keluarga saya meminangnya dan berbincang tentang perkahwinan kami.

“Selepas balik dari umrah, saya mula memikirkan tentang amalan yang saya lakukan. Jika mengikut Islam, perkahwinan merupakan amalan yang digalakkan dan saya fikirkan orang yang berkeluarga akan mendapat lebih banyak pahala.

“Sebagai manusia, saya tidak perlu serik untuk berkahwin lagi,” katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, dia pernah berkahwin tiga kali namun akhirnya ketiga-tiganya tidak dapat diselamatkan termasuk yang terakhir sekali disebabkan alasan perkahwinan tidak sah.

Sepanjang mengenali anak kepada Lokman Ghani, Pegawai Produksi Istana Budaya (IB) yang juga pengarah teater terkenal, Aziz berkenan dengan sikap perempuan itu yang matang dan serasi dengan anak-anaknya.

“Walaupun dia jauh lebih muda daripada saya, tetapi dirinya sangat matang. Isu muda 27 tahun dari saya tidak menjadi persoalan untuk saya berkahwin dengannya.

“Berdasarkan pemerhatian saya, dia bijak mengendalikan anak-anak saya dan mesra dengan mereka. Anak-anak juga dapat menerimanya dan memanggilnya ‘mummy’,” ujarnya lagi.

Walaupun Puteri Lily bergelar pelakon dan pemilik syarikat GNE Talent Agency, namun Aziz tidak mahu bakal surinya itu hanya terperap di rumah dan melakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“Saya berkahwin dengannya bukan untuk dia menjaga makan dan pakaian saya tetapi sebab saya perlukan teman untuk berada di sisi saya ke mana sahaja saya pergi.

“Saya nak dia menjadi sahabat saya sehingga ke akhir hayat dan melakukan semua perkara termasuk kerja di rumah bersama-sama.

“Saya tak mahu dia melakukan kerja seorang isteri kerana terpaksa sehingga tiba pada satu peringkat ia boleh merosakkan hubungan kasih sayang,” tutur produser drama bersiri popular Puteri, Bong, Vice Versa dan Dunia Anita itu.

Jelasnya, pengajaran lalu banyak mengajar dirinya untuk melatih diri menganggap seorang isteri sebagai seorang sahabat.

“Saya sentiasa mencari perkara yang baik dalam hidup. Kesilapan lalu menjadi guru kepada diri-sendiri. Mungkin silap saya dulu apabila menganggap seorang isteri perlu duduk di rumah,” tambahnya.

Terbit semula filem Azura

Ditanya tentang kariernya, Aziz yang sibuk dengan syarikatnya, Ace Motion Picture sedang dalam proses menghasilkan semula filem lama terbitan Deddy M. Borhan berjudul Azura.

“Saya dah beli hak cipta filem Azura dan berminat untuk menerbitkan semula filem itu kerana ceritanya tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

“Jalan cerita dalam filem itu juga menggambarkan tentang apa yang berlaku sekarang. Walaupun saya akan memperbaharui sedikit jalan ceritanya, namun ia masih sesuai dengan keadaan semasa,” katanya yang turut akan menerbitkan siri terbaru Puteri.

Selain itu, Aziz berkata dia sedang menantikan tayangan filem arahannya CE1 pada Hari Raya Haji tahun ini.



Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger