Jumaat, 2 April 2010

PM Rusia ikrar bunuh anggota militan

MOSCOW - Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin berikrar akan membalas dendam dan membunuh militan yang melancarkan serangan bom di stesen kereta api bawah tanah di Moscow yang menyebabkan 39 orang terbunuh, kelmarin.

Putin berkata demikian ketika pihak berkuasa mula menemui kaitan antara dua pengebom berani mati dan kematian seorang pemberontak Islam pada awal bulan ini.

Walaupun tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab, spekulasi mula tersebar menyatakan serangan dilancarkan untuk menuntut bela atas kematian ahli keluarga suspek yang dibunuh askar Rusia di Chechnya.

Media Rusia mendakwa pengeboman itu boleh ditakrifkan sebagai serangan balas dendam atas kematian ketua militan Kaukasus Utara, Alexander Tikhomirov, juga dikenali sebagai Said Buryatsky.

Pada awal bulan ini, Agensi Keselamatan Persekutuan mendakwa Said terbunuh dalam serbuan polis di Ingushetia.

Beliau menjadi buruan pihak berkuasa Rusia selepas dikaitkan dengan insiden kereta api Nevsky Express tergelincir akibat serangan militan ketika dalam perjalanan antara Moscow dan St Petersburg pada November tahun lalu.

Seramai 27 orang maut dalam insiden itu yang menjadi satu-satunya serangan pengganas terbesar di luar Kaukasus Utara sejak 2004.

Polis Rusia membunuh beberapa pemimpin militan Islam di Kaukasus Utara sejak kebelakangan ini, termasuk serangan di wilayah Kabardino-Balkariya pada minggu lalu. klik sini



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.