Home » » Anne Ngasri: Saya Redha, Ini Yang Terbaik

Anne Ngasri: Saya Redha, Ini Yang Terbaik

Written By canang on Ahad, 23 Mei 2010 | 5/23/2010 07:00:00 PTG

Pada 16 April lalu, pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Berita perceraian ini sesungguhnya menggemparkan industri hiburan tanah air kerana rumahtangga yang dibina Anne dan pasangannya, Abdul Wafi Abdul Hassan dilihat begitu bahagia sebelum ini.

Apabila ditemui Rabu lalu, ketika Anne dan Wafi hadir di mahkamah bagi mendengar sebutan kes pengesahan lafaz cerai mereka, Anne enggan memberi sebarang komen tentang perceraian mereka.

Sebaliknya, dia meminta para media mengajukan persoalan mereka ketika majlis pelancaran produk Aleema yang telah berlangsung petang semalam, dimana Anne telah dilantik sebagai dutanya.

“Ini pertama kali Anne naik mahkamah, jadi Anne rasa gugup. Kalau temubual dekat mahkamah, nanti jadi kelam kabut. Sebab itu Anne jemput datang hari ini, senang dan lebih sesuai,” ujarnya memulakan bicara.

“Berpisah itu memang dah berpisah. Tapi mahkamah belum buat apa-apa keputusan lagi. Jadi saya tak boleh nak komen sangat.”

Pasrah dengan ketentuan
Untuk makluman, Wafi telah melafazkan cerai pada 25 Mac lalu, jam 11.20 pagi di kediaman mereka di Shah Alam. Difahamkan ketika itu, Anne sudah pun mengandung dua setengah bulan.

Bagi Anne, dia menganggap apa yang berlaku sebagai satu dugaan dari Ilahi dan ada hikmah di sebalik perceraian ini.

“Saya percaya ini qada dan qadar. Alhamdulillah saya tenang dan saya redha. Saya terima apa yang terjadi ini adalah yang terbaik untuk saya.

“Ini adalah masa depan yang tak dijangka, tapi saya dah cuba yang terbaik. Saya dah cuba selamatkan rumahtangga tapi dah tak boleh. Mungkin sampai di sini saja,” kata Anne yang kelihatan tenang dan tersenyum ketika menjawab soalan daripada pihak media.

Dari riak wajah wanita ini, tidak terpancar langsung kesedihan yang dialaminya akibat perpisahan ini.

“Siapa yang tak sayang? Siapa nak rumahtangga jadi macam ini? Masa nak kahwin, mestilah tak nak berpisah. Bohonglah kalau saya tak menangis. Tapi saya redha. Saya rasa ini yang terbaik. Saya tak rasa menyesal dan anggap apa yang berlaku pasti ada hikmah.”

Cerai talak tiga?
Pasangan ini telah berkahwin pada 26 Mei 2006 dan dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Abdul Warits, 4 tahun dan Abdul Wafri, 2 tahun. Difahamkan, ini kali ketiga Wafi melafazkan cerai kepada Anne.

“Ya, dia pernah melafazkan cerai sebelum ini. Saya tak ingat, tapi dalam awal tahun lepas. Tapi kami telah rujuk mengikut cara Islam. Saya tak berapa arif tentang hal ini, jadi saya minta pandangan ustaz.

“Saya tak tahu ia talak tiga atau tidak. 14 Jun ini baru mahkamah akan buat keputusan. Kemudian baru saya tahu talak tiga ke tak. Apapun, saya sentiasa cuba yang terbaik, tapi dah tertulis macam ini. Saya redha.”

Menurut satu sumber, rumahtangga pasangan ini sebenarnya telah bermasalah sejak di awal perkahwinan lagi.

“Dah berapa lama tu tak nak komen lah. Ia sangat-sangat peribadi. Anne kena jaga hati kedua-dua belah pihak. Kami tak nak bergaduh, lebih baik berdamai. Saya serah pada mahkamah saja. Biar mahkamah yang putuskan talak berapa.”

Tak mahu komen punca perceraian
Ramai yang menganggap apa yang berlaku kepada rumahtangga Anne adalah badi program realiti, ‘Sehati Berdansa’. Lihat saja kesudahan perkahwinan Radhi dan Shazlin serta Ash dan Dira.

Menurut pelakon ‘Dunia Baru’ ini, tidak timbul istilah badi kerana baginya, setiap yang berlaku sudah tertulis.

“Ini Allah punya kerja, bukan sebab badi. Kalau tak masuk pun, belum tentu tak cerai. Ini jodoh. Apa yang terjadi pasti dah tertulis. Akhirnya, ini yang terjadi. Saya memang tak sangka, tapi saya redha.”

Namun ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya punca perceraian pelakon berusia 26 tahun ini.

“Saya tak boleh nak komen apa-apa. Perkara ini melibatkan ahli keluarga. Dia ada keluarga, Anne pun ada keluarga yang nak kena jaga. Saya tak nak komen pasal punca dan tak nak buka pekung siapa-siapa.”

Tetapi timbul spekulasi kononnya punca perceraian mereka adalah disebabkan pihak ketiga. Malah ada juga cakap-cakap yang Wafi telah berkahwin lain. Bagi Anne, dia tetap dengan pendiriannya tidak mahu memberi sebarang komen.

“Anne tak nak nanti kerana mulut badan binasa. Rumahtangga saya sangat peribadi. Yang penting, kami berpisah bukan dengan cara gaduh.

“Saya dengan Wafi tidak ada apa-apa masalah. Dalam rumahtangga tak boleh nak salahkan sebelah pihak saja. Saya dah cuba yang terbaik,” katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger