Home » » Diperkosa bekas suami setiap hari

Diperkosa bekas suami setiap hari

Written By canang on Jumaat, 7 Mei 2010 | 5/07/2010 07:00:00 PG

IPOH: Dia mengharapkan sinar baru dalam hidupnya selepas diceraikan enam bulan lalu, namun belum sempat lukanya pulih, bekas suaminya boleh diibaratkan sebagai ‘singa kelaparan’ kerana dia bukan saja dirogol hampir setiap hari, malah turut menerima penderaan fizikal seperti yang dilaluinya sepanjang 20 tahun mendirikan perkahwinan.
Sebaik diceraikan, bekas suaminya tetap pulang ke rumah seperti biasa dan mengulangi tabiat lamanya dan paling menyedihkan dia dipaksa melayan nafsu serakah haram tanpa belas kasihan sejak enam bulan lalu.

Tidak tahan dengan perbuatan jijik bekas suaminya itu, mangsa berusia 44 tahun bertindak nekad melarikan diri dari rumahnya di Kampung Tawas dekat sini sebelum ditemui orang awam dalam keadaan kaki berdarah selain kesan lebam akibat didera di bahagian pipi dan muka kira-kira jam 2 pagi, dua minggu lalu.

Mangsa dibawa ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan sebelum dihantar pulang ke rumahnya semula selepas keterangan diambil.

Namun, penderitaannya tidak berhenti di situ, sebaliknya bekas suaminya yang juga anggota keselamatan masih pulang ke rumah dan terus memukul tanpa belas kasihan dipercayai geram selepas mangsa membuat laporan polis.

Trauma selepas sekali lagi diperlakukan kejam, mangsa melarikan diri dari rumah buat kali kedua sebelum berlindung di rumah kawannya dan membuat satu lagi laporan polis.

Begitulah nasib seorang ibu tunggal beranak enam yang bukan saja tidak terlepas dari penderaan bekas suaminya, malah sentiasa diburu rasa takut dan sentiasa berada dalam keadaan trauma.

Pendedahan itu diluahkan sendiri Presiden Persatuan Wanita Perak untuk Wanita (PWW), Dr Sharifah Halimah Jaafar yang mendakwa mangsa bukan saja didera secara fizikal, sebaliknya sukar mendapatkan perlindungan daripada pihak berkaitan terutama melindunginya daripada ‘diburu’ bekas suami.

Dr Sharifah Halimah berkata, mangsa mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) daripada Mahkamah Majistret Ipoh bagi membolehkan satu perintah perlindungan sementara dikeluarkan bagi melindunginya daripada menjadi mangsa penderaan bekas suami.

Katanya, mangsa menunggu dan bersabar sejak dua minggu lalu bagi mendapatkan perintah IPO itu yang sepatutnya berfungsi melindungi mangsa daripada didera bekas suami.

Menurutnya, mangsa kini terpaksa berlindung sementara di rumah kawannya di sini, sementara menunggu perintah IPO itu dikeluarkan mahkamah.

“Malah, mangsa perlu pulang ke rumah kerana menjaga makan dan minum enam anak berusia antara 10 hingga 20 tahun,” katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger