KUALA LUMPUR: “Jujurnya, saya tidak ada masalah jika Bade ingin berkahwin lagi dan dia juga tahu perkara ini,” kata pelakon dan pengarah Erma Fatima mengulas desas-desus yang tersebar luas konon suaminya, Badarudin Azmi dalam proses untuk berkahwin lagi.
Tegasnya, jika ingin berkahwin lain, Bade tidak akan menyorokkan daripadanya kerana masing-masing cukup memahami antara satu sama lain.
“Isu seperti ini tidak akan mengundang masalah baik saya mahupun keluarga dan anak,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wangsa Maju, di sini.
Erma yang baru selesai mengarahkan teater Antara berkata, dia hairan bagaimana spekulasi mengenai rumah tangganya boleh menjadi perbualan ramai.
“Siapa agaknya dalang yang cuba menabur fitnah sebegitu kerana setakat ini Bade tidak pernah menyatakan niatnya berkahwin lagi atau melafazkan talak.
“Malah saya dan Bade tidak mengalami masalah buat masa ini. Saya sibuk dengan kerja harian saya, begitu juga dia yang mana lokasi penggambaran ibarat rumah keduanya.
“Demi Allah, saya katakan rumah tangga kami jarang berlaku pergaduhan, terutama yang berpunca daripada masalah remeh-temeh.
“Jika ada sekalipun perselisihan faham, ia bukan kerana masalah cemburu atau orang ketiga, sebaliknya lebih berfokus pada isu keluarga, anak.
“Mustahil perkara seperti ini jadi isu buat saya dan Bade,” katanya yang dinikahkan dengan Bade pada 27 Februari 1991.
Sebelum ini timbul desas desus kononnya kesibukan jadual kerja Erma menyebabkan Bade beralih angin dan ingin mencari pengganti.
“Hukum jatuh talak atau niat berkahwin lagi jatuh pada tangan lelaki. Kuasa itu hanya ada pada pihaknya dan bukan saya. Sesungguhnya lebih afdal jika persoalan ini ditanya terus kepada Bade kerana jawapannya ada pada dia,” katanya.
Ditanya mengenai khabar angin daripada pihak produksi yang mengatakan kononnya Bade bosan dengan sikap kerja kuatnya hingga lupa tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, Erma sekali lagi menafikannya.
“Alasan ini tidak relevan dan mengarut. Bade tidak pernah mempersoalkan urusan kerja saya. Dia faham kesibukan serta komitmen saya ketika bekerja. Walaupun pulang lewat malam, saya akan sambung lagi kerja di rumah.
“Dia juga begitu, selalu hilang ke lokasi penggambaran. Pantang yang dia bentuk pada saya adalah, kami profesional dan tidak pernah sibuk ‘melawat’ lokasi kerja masing-masing. Yang saya tahu, kami percaya antara satu sama lain.
“Pernah juga orang menghubungi saya kononnya terserempak Bade dengan wanita lain, namun tidak mungkin saya percaya kata-kata begitu. Saya kenal suami saya dan reaksi saya setiap kali berdepan situasi begitu adalah senyum atau tergelak saja,” katanya.
Erma berkata, biarpun sibuk bekerja, dia sentiasa memastikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak tidak terabai.
“Sebaik tiba di pintu rumah, saya tanggalkan mahkota pengarah dan menjadi isteri kerana Bade cukup pantang orang mengarahkannya. Kami juga mencuri masa bagi meluangkan masa bersama anak pergi bercuti atau berkelah di tepi pantai,” katanya.
Perkahwinan pasangan selebriti popular ini melangkaui 19 tahun dan mereka mengambil lima anak angkat, iaitu Ahmad Albab, 19; Ahmad Arri, 16; Ahmad Aifin, 14; Citra, 8, dan Nurain, 4.
Erma sempat menghubungi suaminya dalam pertemuan lebih kurang sejam setengah itu bagi mendapatkan keseimbangan liputan kerana dia masih menegaskan isu itu perlu mendapat kenyataan daripada Bade.
Bagaimanapun, Bade enggan mengulas dan memberitahu Erma bahawa isu terbabit mengarut dan tidak perlu diperbesarkan.
“Saya malas nak melayan hal seperti ini. Perkara itu mengarut dan merepek untuk diperbincangkan. Entah macam mana spekulasi ini boleh timbul dan saya tidak punya tanggungjawab untuk mengulas lanjut. Isu ini tidak betul,” katanya dalam perbualan telefon dengan isterinya.
Home »
» Erma Fatima rela dimadu
Erma Fatima rela dimadu
Written By canang on Ahad, 2 Mei 2010 | 5/02/2010 08:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan