Kerajaan negeri Selangor mahu semua guru agama di negeri ini sama-sama melihat pendidikan sebagai wahana untuk melahirkan modal insan yang boleh berjasa kepada bangsa, agama dan negara.
Exco Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Halimah Ali berkata generasi yang perlu dilahirkan oleh guru pada hari ini mesti mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Kita mahukan generasi yang menguasai ilmu dalam pelbagai bidang dan mengamalkannya. Kita mahukan generasi yang mempunyai citra dan jati diri unggul serta bersedia berkorban untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.
“Justeru, kerajaan negeri Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus memperkasa sistem pendidikan Islam di negeri ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan biarpun cabaran yang dihadapi oleh guru dalam bidang pendidikan hari ini menuntut pengorbanan yang besar, bagaimanapun kerjaya sebagai guru ini dianggap mulia di mata rakyat.
“Semuanya memerlukan keikhlasan, kepekaan dan kebertanggungjawaban warga pendidik untuk mengambil dan menggunakan mana sumber yang sesuai bagi perkembangan kognitif dan psikologi anak-anak bangsa kita.
“Pada hemat saya, di sinilah peranan dan tugas guru, terutama guru-guru JAIS di negeri Selangor. Guru-gurulah yang bakal mendidik dan membimbing murid-murid cara membentuk dan membina jati diri Muslim sebenar,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri juga memahami sebagai sebuah negeri berkebajikan, kerajaan negeri akan memberikan keutamaan terhadap usaha pengisian dan penambahan waran perjawatan untuk-untuk guru JAIS.
Ekoran itu, kerajaan negeri meminta pihak JAIS supaya segera mengisi waran untuk kenaikan pangkat yang sedia ada iaitu meliputi kenaikan pangkat secara hakiki dari Gred 29 ke Gred 32.
Selain itu, peluang kenaikan pangkat untuk Gred DG41 ke Gred DG44 dan DG48 turut akan dipertimbangkan.
Halimah menyampaikan perutusan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim itu pada ‘Majlis Sambutan Hari Guru bagi Guru-Guru JAIS’ tadi yang turut dihadiri kira-kira 2, 000 guru agama dari seluruh daerah negeri Selangor.
Pada majlis yang sama tadi, kerajaan negeri turut menyampaikan bantuan kewangan dalam bentuk cek kepada beberapa guru besar bagi membaik pulih struktur pembinaan bangunan sekolah, pembelian buku teks dan perabot kelas.
Home »
» Guru Wahana Modal Insan
Guru Wahana Modal Insan
Written By canang on Ahad, 16 Mei 2010 | 5/16/2010 06:05:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan