Home » » Saya tak terbabit secara langsung dengan Pos Malaysia" - Nor Mohamed

Saya tak terbabit secara langsung dengan Pos Malaysia" - Nor Mohamed

Written By canang on Ahad, 9 Mei 2010 | 5/09/2010 05:00:00 PG

GEORGETOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop menafikan sebarang pembabitannya dalam Pos Malaysia Bhd, yang
mengakibatkan syarikat itu mengalami kerugian RM546 juta sejak beberapa tahun
lalu. "Saya tidak terbabit secara langsung dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh Pos Malaysia kerana sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat ini mempunyai lembaga pengarah dan keputusan ditentukan oleh lembaga pengarah termasuk Khazanah Nasional Bhd tanpa perlu merujuk kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di sini hari ini, beliau berkata Khazanah
Nasional terlibat dalam membuat keputusan kerana mempunyai wakil dalam lembaga
pengarah syarikat tetapi mereka telah pun menjelaskan perkara itu sebelum ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan terbaru yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bahawa Nor Mohamed
sepatutnya memberi penjelasan mengenai kerugian yang ditanggung Pos Malaysia.

Bagaimanapun, mengenai dakwaan lain oleh Zahrain berhubung pelantikan lapan
individu dari Danaharta Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam GLC, Nor
Mohamed berkata tiada masalah berhubung pelantikan itu kerana mereka
berkemampuan untuk menerajui jawatan itu.

"Perkara ini tidak seharusnya dijadikan isu kerana mereka yang dilantik
berdasarkan kemampuan mereka, dan saya berpendapat kesemua mereka mempunyai
kebolehan tersendiri untuk mengemudi tugas itu. Sebaliknya kita harus berbangga
dengan kebolehan mereka sebagai anak Melayu yang dilantik menerajui GLC,"
katanya. - Bernama
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger