Home » » Sepi seorang diva

Sepi seorang diva

Written By canang on Ahad, 2 Mei 2010 | 5/02/2010 05:00:00 PTG

BICARANYA satu persatu. Gerak tubuhnya menunjukkan dia tidak senang saat diminta berbicara tentang kisah cintanya yang baru saja terputus di tengah jalan sehingga menjadi perbualan sekalian banyak. Ia kelihatan menerusi pancaran mata penyanyi tersohor Krisdayanti (KD). Keinginannya jelas, dia meminta agar orang sekeliling memahami apa yang dirasainya selepas peristiwa sedih itu.

KD juga sedaya upaya menutup rasa sedihnya yang jelas kelihatan pada wajah dengan 'berpura-pura' ceria. Kesempatan bertemu dengannya pada Showcase Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti di Pusat Konvensyen Shah Alam, (SACC) Selangor baru-baru ini, mengukuhkan perasaan yang bergelora dalam jiwa terhadap diva kelahiran Indonesia itu.

Riak wajahnya kerap berubah. Mendung di wajah benar-benar terserlah tatkala bercerita tentang kisahnya dengan hartawan berasal dari Timor Leste, Raul Lemos.

Wanita berusia 35 tahun itu mengakui bahawa hatinya berkeping-keping selepas peristiwa tersebut. Sedih dan macam-macam lagi perasaan jahat membius dalam hatinya.

Pandangan jelik dari segelintir masyarakat di Indonesia yang mengaitkan peribadinya dengan perkahwinan lampau benar-benar meragut kesabarannya.

''Bohonglah kalau saya mengatakan tidak sedih dengan apa yang telah terjadi. Cukuplah dengan apa yang saya lalui. Setelah pengakuan dibuat (pada 12 April) lalu, saya berdepan dengan tekanan. Hati saya tidak nyaman (tenang) lagi.

''Ia meliputi pelbagai perkara. Sehinggakan mahu keluar rumah, saya dikepung oleh sekumpulan media di sana. Keadaan sedemikian menyebabkan saya tidak boleh duduk tenang. Nah, di situlah tekanan paling teruk saya hadapi,'' tutur KD.

Pelantun Menghitung Hari ini memberitahu kadangkala dia tidak boleh menerima apa sahaja tanggapan buruk yang diberikan oleh media di sana. Ada kalanya melampaui batas tetapi kayu pengukur hati KD mengatakan 'dia bukan artis sensasi'. Tidak ada yang perlu diperjelaskan semula.

Pada masa yang sama KD memberitahu, dia masih menghormati lelaki bernama Raul itu atas dasar silaturahim sesama insan. Namun tidak boleh mencampuri urusan lain dan menolak sebarang hubungan secara langsung.

Biarlah kisah hitam antara KD dengan Raul yang berstatus suami orang itu menjadi sejarah. Tidak ada yang perlu dinyatakan lagi. Baginya, lebih baik bercerita tentang rancangan kerjaya atau perkara-perkara yang membahagiakan dari berfikir riwayat sedih.

''Saya adalah seorang yang optimis tentang kehidupan. Saya enggan menoleh ke belakang dan lebih senang dengan menumpukan perhatian terhadap tugasan harian dan kerjaya. Saya juga tidak membiarkan perkara bertambah buruk membabitkan peribadi saya. Itu lebih mudah bukan?,'' ujar KD.

KD juga menafikan dia dirinya tidak terdesak untuk mencari cinta atau jodoh. Katanya, itu adalah perbuatan 'merbahaya'. Lebih baik membahagiakan diri dan dua permata hatinya, Titania Aurel dan Azriel Akbar. Tambahan lagi, dua pertama hatinya itu telah berjanji untuk membahagiakan KD. Mereka tidak mahu melihat ibu kesayangan menitiskan air mata hanya kerana gagal bercinta.

Pada masa sekarang ini minda dan jasad KD bersatu. Dia masih lagi boleh berfikir dan mempertimbangkan sama ada perkara itu baik atau tidak terhadap masa depannya. Janji dirinya, 'aku tidak akan ke dunia gelap'.

Saat diajukan soalan tentang bekas suaminya, Anang Hermansyah yang kini sedang hangat bercinta dengan seorang penyanyi baru Indonesia, KD memberitahu bahawa berita itu diketahui dari penceritaan anak-anaknya.

Sebagai mantan isteri, dia hanya mampu mendoakan perkara yang terbaik buat Anang. KD lebih senang untuk tidak mencampuri peribadi bekas suaminya itu. Tidak wajar buatnya untuk menceroboh ruang peribadi Anang.


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger