Home » » 'Tak berniat tayang badan:Haliza Misbun akui teknik sudut kamera buat dia seksi dalam filem Andartu Terlampau

'Tak berniat tayang badan:Haliza Misbun akui teknik sudut kamera buat dia seksi dalam filem Andartu Terlampau

Written By canang on Selasa, 11 Mei 2010 | 5/11/2010 11:30:00 PTG

TIADA niat menayang tubuh dalam filem terbitannya sendiri, tetapi aktres sensasi yang juga bintang utama filem Andartu Terlampau, 21 Hari Mencari Suami, Haliza Misbun berkata teknik sudut kamera menyebabkan dia kelihatan seksi.
Ditemui ketika majlis tayang filem pertama terbitannya, Haliza berkata, seandainya aksi dalam filem itu melampau, tentu pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak akan meluluskan tayangan kepada umum.
“Saya tahu adegan mana yang dimaksudkan. Saya sendiri tak menyangka baju gaun putih yang saya pakai dalam filem itu begitu terdedah. Saya tak berniat nak tayang badan, tetapi ia berlaku dengan tidak disengajakan. Kalau saya tahu, sumpah saya tak akan pakai baju itu.

“Saya hanya menyedari baju itu terlalu seksi selepas melihat kembali ‘playback’. Memandangkan penggambaran sudah dilakukan, takkanlah saya nak menyuruh mereka membuat rakaman semula. Bagaimanapun, saya tetap tidak merasakan gaya saya dalam gaun putih itu seksi. Kalau betul saya seksi, LPF tentu sudah memotong babak itu,” katanya yang memegang watak Nick Melati Sukma atau Nikki.

Selain seksi, Andartu Terlampau yang bakal menemui penonton pada 20 Mei ini umpama filem biografi Haliza. Dari awal ,filem itu hanya berkisar mengenai kehidupan Nikki disamping tujuh lelaki, kehadiran pelakon lain pula tidak ubah sekadar tempelan semata-mata.

Dengan statusnya yang masih membujang sehingga kini, penonton yang menyaksikan filem itu tidak dapat tidak akan menyamakan kisah hidup sebenar Haliza dengan Nikki. Malah Haliza sendiri tidak menafikannya.
Bagaimanapun hanya 10 hingga 15 peratus saja persamaan antara dirinya dan Nikki, selebihnya adalah imaginasi Haliza bersama penulis skrip yang diadakan-adakan untuk menjadikan jalan cerita filem itu menarik.

“Memang tak disangkal filem ini mempunyai persamaan dengan kisah hidup sendiri. Saya tak malu mengaku bahawa saya kini tergolong dalam golongan andartu dan saya ingin mewakili golongan andartu di luar sana menyampaikan mesej kepada masyarakat yang bukannya kami tidak mahu kahwin. Namun pertemuan untuk mencari suami bukanlah satu proses yang mudah kerana kebanyakan lelaki yang baik sudah dimiliki,” katanya.

Yakin sambutan penonton

DIDAMPINGI tujuh jejaka Datuk Rahim Razali, Awie, Azhar Sulaiman, Fahrin Ahmad, Fizo Omar, Azizi Chunk dan Arie Wibowo di dalam filem berkenaan, ada di antara mereka pernah mencuri hati wanita ini dan ada juga antara mereka dipilih Haliza kerana mengagumi bakat mereka.

Pelakon yang terbabit di dalam filem adalah pilihannya sendiri, malah dia bersyukur kebanyakan pelakon yang digambarkan termasuk Erra Fazira dan Maimun Mutalib bersetuju untuk berlakon di dalam filem pertama terbitannya.

“Saya gembira kerana semua pelakon yang diingini sudi bekerjasama. Sudah lama sebenarnya saya ingin berkolaborasi dengan sesetengah pelakon dalam filem ini seperti Arie Wibowo. Daripada bujang sehinggalah dia sudah berkahwin dan kini memiliki anak, barulah saya dapat bekerjasama dengannya dalam filem. Begitu juga dengan Erra Fazira dan juga pelakon lain.

“Saya optimis filem ini akan mendapat sambutan baik. Walaupun tema andartu namun ia digarap dengan baik oleh pengarahnya Din CJ. Sesuatu yang menariknya mengenai filem ini kerana pelakon yang terbabit bukan dari bidang komedi tetapi mereka berjaya menghayati dengan baik.

“Saya memperjudikan nasib menghasilkan filem. Sebagai orang yang sudah berhabis banyak tenaga dan wang ringgit, saya berharap sangat peminat dapat menerima filem ini yang menelan kos RM1.2 juta dan akan ditayangkan di 48 panggung,” katanya.

Arie Wibowo yang hadir ke Malaysia semata-mata untuk melunaskan tanggungjawabnya sebagai pelakon pula berkata, sudah sekian lama dia tidak membawakan watak komedi. Kali terakhir sekitar 1993. Seronok diberi peluang oleh rakan baiknya membintangi filem itu, namun kesuntukan waktu menyebabkan dia hanya dapat melakukan penggambaran selama sehari saja.

“Mujur saya dapat melunaskan impian Haliza untuk bekerja dengannya.
Bagaimanapun saya tidak boleh lama serta hanya sempat untuk muncul dalam beberapa babak saja disebabkan terikat dengan jadual kerja lain di Jakarta.

Walaupun tidak boleh lama di sini, saya bersyukur kerana dapat juga memenuhi undangan Haliza. Sebelum ini kami pernah bekerjasama di dalam telemovie Rohaya Roy dan saya memang sentiasa menantikan tawarannya,” kata Arie.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger