Ketika seluruh dunia dilanda demam bola, tiba-tiba industri hiburan Indonesia digoncang dengan skandal seks pasangan selebriti popular, Ariel Peterpan dan Luna Maya. Semuanya gara-gara penyebaran klip video seks yang didakwa ‘dibintangi’ oleh Ariel dan Luna di laman-laman web. Insiden ini bukan sahaja mengejutkan Indonesia, malah menjadi bahan perbualan seluruh dunia.
Di Malaysia, skandal seks vokalis Peterpan ini menjadi topik hangat kerana kumpulan dari Bandung ini cukup popular di sini. Lagu-lagu seperti “Ada Apa Denganmu”, “Tak Bisakah”, “Menghapus Jejakmu”, “Di Balik Awan” dan “Kukatakan Dengan Indah” menjadi siulan ramai kerana sering berkumandang di radio-radio tempatan.
Selain itu, ketampanan Ariel membuatkan ramai wanita menggilai jejaka berusia 29 tahun. Kalau tidak, masakan berita perceraiannya dengan Sarah Amalia pada 2008 lalu membuatkan ramai yang menarik nafas lega. Pendek kata, Ariel memang menjadi dambaan. Mungkin sebab itulah Ariel tidak pernah lekang daripada gosip tentang wanita yang hadir dalam hidupnya.
Menyorot kepada skandal seks ini, pada mulanya Luna Maya bertegas menafikan pembabitannya dalam video seks itu, tetapi kes ini tetap berlanjutan kerana rata-rata yang sudah menyaksikan rakaman itu yakin ia dilakukan oleh Ariel dan Luna. Tindakan Ariel yang mengambil pendekatan mendiamkan diri tambah memburukkan keadaan. Apa tidaknya, keengganan Ariel dilihat sebagai tanda dia mengiyakan apa yang berlaku.
Kes ini menjadi semakin besar apabila Polis Indonesia mula menjalankan siasatan atas dasar memerangi pornografi. Perkembangan itu telah memaksa Ariel dan Luna muncul dalam satu temu bual bersama TVOne, Indonesia.
Dalam temu bual itu, pasangan popular ini telah meminta peminat supaya tidak membuat sebarang rumusan dan menyerahkan tugas itu kepada pihak polis. Bagaimanapun, Ariel dan Luna tidak berjaya meraih simpati peminat kerana mereka dilihat tidak bertegas menafikan pasangan dalam klip video itu adalah mereka.
Skandal seks ini menjadi semakin panas apabila timbul pula klip video yang lain. Kali ini ia membabitkan Ariel dan bekas teman wanitanya, Cut Tari, juga seorang selebriti popular. Kemunculan video seks kedua ini membuatkan peminat semakin marah terhadap Ariel memandangkan Cut adalah isteri orang.
Dalam tempoh sebulan ini, baik Ariel mahupun Luna telah digasak oleh pihak media Indonesia yang mahukan kebenaran. Selain itu, peminat-peminat hiburan di sana juga mula menghentam Ariel, Luna dan Cut Tari.
Pada 17 Jun lalu, perkarangan rumah Ariel yang kini digelar ‘Peterporn’ diserbu oleh Gerakan Reformis Islam Bandung yang mahu mengusir Ariel keluar dari Kota Bandung sehingga memaksa pihak polis melakukan pemantauan. Luna pula terpaksa menanggung kerugian kerana kafe miliknya di Bandung dan Bali terpaksa ditutup gara-gara diserbu penunjuk perasaan yang marah. Sementara Cut pula diugut mahu dihukum rejam sampai mati jika terbukti dia bersalah.
Ariel diberkas polis
Setelah tekanan demi tekanan terpaksa ditempuh oleh tiga selebriti popular ini, Ariel akhirnya diberkas oleh pihak polis kerana disyaki sebagai suspek utama. Dengan penangkapan itu sekiranya Ariel didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 12 tahun dan didenda sehingga enam billion rupiah (RM2.2 juta).
Ariel dikenakan tuduhan di bawah Undang-Undang Pornografi 2008 yang membolehkan mereka yang terlibat dengan pornografi seperti menghasilkan, membuat, mengedar, mengeksport, mengimport atau menyediakan bahan-bahan lucah boleh dipenjara.
Setakat ini Luna dan Cut Tari masih tidak diberkas sebaliknya hanya dipanggil sebagai saksi kes. Dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa melalui ujian fizikal seperti Ariel bagi membuktikan sama ada mereka adalah orang yang sama seperti di dalam klip video lucah itu atau sebaliknya.
Selepas beberapa hari dalam tahanan, pihak Polis Indonesia membuat pendedahan mengejutkan apabila mengeluarkan kenyataan pihaknya telah menemui 32 buah video kesemuanya dan empat daripadanya adalah aksi Ariel bersama lelaki. Perkembangan ini meletakkan Ariel dalam keadaan yang tidak begitu baik.
Teman Artis terus bagi sokongan
Semenjak ditahan polis minggu lalu, Ariel terus mendapat kunjungan daripada rakan-rakan artis yang simpati dengan nasib yang menimpa Ariel. Antara yang dilaporkan datang menjenguk ialah Ahmad Dhani, Mulan Jameela, Titiek Puspa, Yovie Widianto, Camelia Malik dan tidak ketinggalan bekas ahli Peterpan, Andhika dan Indra.
Sementara itu, ahli kumpulan Peterpan yang lain menyangkal dakwaan yang mengatakan Ariel telah disingkirkan daripada kumpulan itu. Menurut salah seorang ahlinya, Ukie, Ariel masih vokalis Peterpan walaupun imejnya kini tercalar gara-gara klip video lucah itu. Syarikat rakaman Peterpan, Musica Studio juga mempertahankan Ariel dan menafikan gosip penyingkiran itu. Malah mengakui album terbaru Peterpan akan dilancarkan apabila kontroversi ini reda.
Ariel sihat
Sabtu lalu, GUA dikejutkan dengan kiriman pesanan Blackberry (BBM) yang mengatakan Ariel Peterpan telah meninggal dunia kerana dipercayai menelan pil secara berlebihan kerana tertekan dengan tuduhan yang dikenakan oleh pihak polis Indonesia terhadapnya.
Perkara ini tersebar apabila portal Inilah.com melaporkan berita seperti berikut:
“Innalillahi wa innalilahi rajiun, telah pulang kepada Tuhan yang maha kuasa, Nazriel Irham (Ariel Peterpan) yang mengalami over dosis zat psikotropika di dalam kamar tahanan pada jam 13.08 hari ini (26/6/2010). Mari kita doakan agar arwahnya diterima di sisi Tuhan yang Maha Kuasa. Amin.”
Bagaimanapun, berita itu ternyata palsu apabila pihak polis Indonesia tampil memberi penjelasan. Menurut Brigidier Jeneral Zainuri Lubis, perkhabaran itu hanyalah spekulasi semata-mata dan pihak polis menafikan perkara tersebut.
Menurut peguam yang mewakili Ariel dan Luna Maya, Boy Afrian Bondjol, anak guamnya, Ariel sihat walafiat di dalam tahanan polis dan menganggap berita kematian Ariel itu sebagai gosip yang tidak berasas.
Dalam perkembangan terkini, Luna Maya dan Cut Tari dilaporkan akan menjalani pemeriksaan fizikal pada hari ini. Luna Maya dilihat telah dijemput oleh pihak polis seawal jam 5.30 pagi (waktu tempatan) untuk tujuan tersebut. Manakala, Cut Tari sehingga jam 2.30 petang tadi masih belum kelihatan di Ibu Pejabat Polis Jakarta.
Home »
» Alahai Ariel Peterporn!
Alahai Ariel Peterporn!
Written By canang on Selasa, 29 Jun 2010 | 6/29/2010 08:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
ini tsunami peterpan ke hape nie? patut la banyak sangat bencana di indonesia.. isk isk isk
Catat Ulasan