Home » » DAP pertikai exco Perak kerap mesyuarat di KL

DAP pertikai exco Perak kerap mesyuarat di KL

Written By canang on Sabtu, 26 Jun 2010 | 6/26/2010 09:00:00 PTG

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zamry Kadir diminta memberikan rasionalnya mengapa mesyuarat exco kerajaan negeri kerap kali diadakan di hotel bertaraf lima binatang di Kuala Lumpur.

Ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang juga setiausaha DAP Perak berkata kali terakhir mesyuarat kerajaan negeri diadakan di Kuala Lumpur ialah pada Rabu lalu.

Katanya, ketika rakyat Perak menghadapi kekangan kewangan dan defisit kerajaan negeri mencecah RM70 juta pada tahun ini, kerajaan negeri pula boros berbelanja.

“Sedangkan bangunan Perak di Ipoh telah siap dengan segala kemudahan. Tindakan Zamry adalah satu pemborosan wang rakyat dengan puluhan ribu elaun, sewa hotel dan kos penginapan serta kos pengangkutan yang terpaksa dibiayai rakyat kerana mesyuarat exco di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Taiping, semalam.

Nga berkata, adalah tidak masuk akal untuk sering-kali mengadakan mesyuarat exco Perak diadakan di Kuala Lumpur, mahupun di tempat-tempat peranginan lain sedangkan hutang negara yang mencecah jumlah RM377 billion semakin membimbangkan.

Perak negeri ke-3 termiskin

“Tambahan lagi, negara kita sedang menghadapi risiko menjadi muflis menjelang tahun 2019 seperti yang diramalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala,” katanya.

Merujuk perangkaan Jabatan Perdana Menteri, Nga berkata 40 peratus daripada keluarga rakyat di negara ini, iaitu 2.4 juta keluarga di seluruh negara berpendapatan kurang dari RM2,000 setiap bulan.

“Perak mempunyai bilangan terbanyak seramai 192,000 keluarga, atau 12.5 peratus dan diikuti oleh Sabah, Johor, Kedah dan Sarawak. Di bawah pemerintahan BN, Perak juga merosot menjadi negeri ke-3 termiskin di Malaysia selepas Sabah dan Terengganu,” katanya.

Nga juga membidas kerajaan yang menasihatkan rakyat berjimat-cermat dan membayangkan kemungkinan subsidi barangan asas ditarik balik atau dikurangkan tetapi pada masa yang sama boros berbelanja.

“Contohnya, kerajaan belanja RM6,700 juta untuk membeli kapal peronda TLDM walaupun Malaysia adalah anggota treati antarabangsa anti perang dan berada di luar zon perang,” katanya.

Beliau berkata pengurusan kewangan yang lemah dan tindakan boros kian serius dan menyeru rakyat berubah untuk menyelamatkan negara daripada menjadi muflis menjelang tahun 2019.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger