Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang hari ini menyangkal dakwaan yang menyatakan lebih 5,000 pengundi bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh telah ditukarkan sebagai pemilih di kawasan lain.
Pengarahnya Morat Pora berkata sejak pilihan raya umum ke-12 hingga Mac lepas, hanya 360 pemilih kawasan itu yang telah bertukar kawasan kerana pertukaran alamat bermastautin.
"Dalam tempoh yang sama SPR telah memotong sebanyak 1,271 pemilih kerana meninggal dunia, dilucut hak warganegara, memasuki perkhidmatan polis atau tentera dan bersara daripada anggota polis atau tentera," katanya dalam satu kenyataan.
SPR mengulas dakwaan Umno Bahagian Permatang Pauh bahawa lebih 5,000 pengundi Barisan Nasional yang berdaftar di kawasan itu telah ditukarkan sebagai pemilih di kawasan Parlimen lain tanpa pengetahuan mereka.
Morat berkata sepanjang tempoh yang sama jumlah pengundi di Permatang Pauh bertambah sebanyak 2,817 orang menjadikan jumlah keseluruhan 61,266 pemilih.
Bagaimanapun, Morat berkata pihaknya sedia menyiasat dakwaan mana-mana pihak yang dapat mengemukakan maklumat terperinci mengenai perpindahan pemilih yang dikatakan dirancang oleh pihak tertentu atau pegawai SPR itu.
Selasa lepas akhbar melaporkan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata kegiatan pemindahan pengundi itu disedari kira-kira dua minggu lepas apabila beberapa pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya membuat semakan daftar pemilih.
Abdul Jalil turut mendakwa terdapat kemungkinan kegiatan pemindahan pengundi itu dilakukan oleh pihak tertentu dan dibantu "orang dalam" bagi memastikan kawasan Parlimen Permatang Pauh terus dikuasai pembangkang. (Bernama)
Home »
» Pengundi Permatang Pauh Dipindah, Dakwaan Umno Disangkal
Pengundi Permatang Pauh Dipindah, Dakwaan Umno Disangkal
Written By canang on Sabtu, 5 Jun 2010 | 6/05/2010 08:00:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan