SETELAH meneliti debat dan polemik menganai cadangan mengeluarkan semula lesan judi bola sepak, saya berasa yakin kita boleh membuat beberapa kesimpulan.
Pertama, Mohd Najib Abdul Razak, sebagai Pengerusi Barisan Nasional, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh meluluskan lesen judi bola sepak atau apa-apa judi sekalipun. Itu hak dan budi-bicaranya.
Kedua, parti-parti bukan Islam dalam BN mungkin bersetuju atau tidak menentang keras pelesenan judi manakala parti-parti lawan, termasuk Pas dan PKR, akan bermain wayang dan menangguk di air keruh. Itu hak mereka.
Ketiga, sebagai seorang Islam dan Presiden Umno, Mohd Najib tidak boleh bertindak sesuka hati. Di sisi Islam, judi sama ada dilesenkan atau dijalankan secara haram adalah HARAM.
Keempat, sebagai Presiden Umno – sebuah parti yang berjuang atas nama agama (Islam), bangsa dan negara – Mohd Najib tidak boleh bertindak sesuka hati.
Kelima, dia berkuasa mengarah dan memujuk menteri-menteri Islam, ketua-ketua Umno dan media massa arus perdana melancarkan perang saraf bagi menyokong pelesenan judi bola sepak. Atau pihak-pihak ini berasa perlu untuk mempertahankan Perdana Menteri dan kerajaan.
Keenam, Mohd Najib harus berhati-hati menongkah arus kerana ramai dalam Umno telah secara terbuka dan terus terang menyatakan bantahan mereka terhadap pengeluaran lesen judi bola sepak.
[Umno Johor – tonggak kekuatan Umno Malaysia buat masa ini – telah mengatakan “tidak” kepada lesen tambahan perjudian. Umno Perak yang dalam perjuangan hidup mati pun mengatakan “tidak” dan begitu jugalah Umno Kedah yang cuba bangkit semula. Semuanya berkata “tidak”.
Pemuda Umno pun menyatakan pendirian yang sama. Bernama pada 24 Jun memetik ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin, sebagai berkata Pemuda Umno menentang cadangan mengeluarkan lesen judi bola sepak.
Katanya, pelesenan judi bola sepak akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
"Selepas beberapa minggu mendapatkan pandangan ahli akar umbi dan melihat usaha polis mencegah judi (haram), Pemuda Umno mengambil pendirian membantah jika kerajaan mahu mengeluarkan lesen judi bola sepak,” tegas beliau.]
Ketujuh, dalam isu judi ini, politiking ada hadnya. Umno, Pas dan elemen Islam dalam PKR boleh bermain wayang dengan membuat kenyataan politik untuk menyedapkan hati penyokong masing-masing sambil cuba mengambil hati orang bukan Islam, tetapi mereka tidak boleh bermain wayang dengan hukum agama dan tentunya tidak semua orang bukan Islam mahu lebih banyak lesen dan kegiatan judi diwujudkan kononnya kerana menghormati hak dan kebebasan orang bukan Islam.
Kelapan, tidak semua orang bukan Islam kaki judi dan bukan semua yang berjudi halal itu orang bukan Islam. Ramai orang bukan Islam menentang judi dan ramai juga orang Islam mencuri berjudi menggunakan perantara dan proksi.
Kesembilan, judi bukan sahaja haram kepada orang Islam, tetapi ia juga buruk kepada orang bukan Islam. Ramai kaki judi yang muflis, diburu along, mengabaikan anak bini dan sekali sekala terjun bangunan, gantung diri dan minum racun.
Kesepuluh, keberkesanan alasan melesenkan judi bagi melawan judi haram ada hadnya. Hakikat yang wajib diakui ialah judi haram tetap berleluasa di negara kita walaupun pelbagai jenis judi telah dilesenkan. Sebabnya ialah kerana ramai kaki judi dan ramai penjenayah di negara kita. Ada kaum dan individu di negara ini yang berpaksikan keuntungan dan materialisme semata-mata, di mana maruah diukur dengan wang ringgit dan segala-galanya boleh asalkan mendapat untung.
Kesebelas, lebih baik kita memerangi judi haram. Gunakan segala peruntukan undang-undang – buang daerah, cukai pendapatan, money laundering dan pembekuan harta – untuk melawan penjenayah judi ini. Takkanlah polis kita haprak sangat sampai tidak tahu siapa penyangak di sebalik judi haram dan kegiatan underworld ini?
Akhir kalam, jangan kerana mahu mengambil hati seorang dua pengusaha judi, Presiden Umno melukakan hati berjuta-juta ahli dan penyokong Umno. Ingatlah, ahli Umno dan orang Melayu tidak lagi mengikut dan menyokong membabi-buta.
Home »
» Perangi Judi Haram Atau Tambah Lesen Judi?
Perangi Judi Haram Atau Tambah Lesen Judi?
Written By canang on Sabtu, 26 Jun 2010 | 6/26/2010 12:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan