Home » » Hamil dan akan bersanding: Misha Kecewa Difitnah Lagi

Hamil dan akan bersanding: Misha Kecewa Difitnah Lagi

Written By canang on Isnin, 12 Julai 2010 | 7/12/2010 10:00:00 PTG

Selepas dikaitkan dengan pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini, pelakon dan penyanyi popular Misha Omar sekali lagi terpalit dengan kisah sensasi.

Terbaru, selebriti yang cukup sinonim dengan lagu "Cinta Adam Dan Hawa" itu dilaporkan hamil dan bakal mengadakan majlis persandingan dalam masa terdekat bagi memberitahu pihak media mengenai perkahwinannya yang selama ini kononnya dirahsiakan.

Misha ketika ditemui di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini ternyata kecewa dengan berita tersebut. Katanya sudah berkali-kali dia memberitahu pihak media mengenai statusnya yang masih bujang.

Namun orang ramai tetap percaya dengan khabar angin yang mengatakan dia sudah berkahwin. Malah menjadi isteri ketiga kepada seorang usahawan yang membabitkan diri dengan perniagaan berkaitan kereta mewah.

"Kadang-kadang saya rasa malas nak bercerita tentang perkara ini. Selepas dilaporkan berkahwin, saya dilaporkan pula mengandung. Sedangkan saya sekarang tengah sibuk dengan latihan teater 'Uda Dan Dara' yang bakal dipentaskan tidak lama lagi.

"Macam mana saya mahu mengandung sedangkan saya belum berkahwin. Walaupun saya sudah menafikannya, namun orang ramai tetap percaya dengan pelbagai cerita tidak benar mengenai saya.

"Sekarang saya serahkan penilaian kepada peminat sama ada mereka percaya saya sudah berkahwin atau tidak. Bukannya apa, kalau saya nafikan pun, peminat sememangnya sudah percaya bahawa saya kini bergelar isteri ketiga. Cuma mereka mahu mendapat pengesahannya daripada saya," ujar Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar.

Tambahnya, walaupun sedikit kecewa dengan keadaan tersebut, namun apabila difikirkan kembali, dia akan tersenyum sendiri. Malah percaya semua gosip tersebut adalah sebahagian asam garam yang perlu dilaluinya sebagai seorang anak seni.

"Memang berita-berita sebegini pada mulanya mengganggu tumpuan saya. Tetapi apabila sudah sering kali berdepan dengan masalah sebegini, saya tidak mahu terlalu memikirkannya.

"Malah di awal penglibatan saya di dalam bidang nyanyian dulupun, ada yang mengatakan saya janda dan diceraikan oleh suami kerana tidak merestui saya menjadi penyanyi. Namun ternyata cerita tersebut langsung tidak benar.

"Sekarang saya percaya kebenaran akan datang juga, sama ada cepat atau lambat. Seperti cerita perkahwinan saya, jika saya benar-benar sudah berkahwin sudah pasti ada pihak yang akan membawakan segala bukti mengenai perkahwinan saya," ujar Misha yang mula dikesan bakatnya apabila menyertai pertandingan Bintang RTM 2001.

Kasihan keluarga
Ditanya mengenai respon keluarganya mengenai isu tersebut, Misha yang pernah membintangi teater muzikal 'Gamat' memberitahu, pada mulanya keluarganya turut panik dengan gosip tersebut. Namun apabila telah diberitahu mengenai situasi sebenar, mereka semakin jelas dan dapat menerimanya dengan hati terbuka.

"Kalau nak tahu, di Kelantan gosip ini telah tersebar sejak tahun lalu. Cuma di Kuala Lumpur ia memakan masa yang agak panjang untuk diketahui. Paling tidak seronok apabila terdapat sesetengah pihak yang datang menyerbu rumah keluarga saya di kampung semata-mata untuk mengetahui perkara sebenar.

"Saya cuma kasihankan keluarga yang tidak biasa dengan situasi tersebut. Malah ada yang siap mengugut keluarga saya bahawa mereka mahu menunjukkan surat nikah saya.

"Saya sedikitpun tidak risau kerana saya berada di pihak yang benar. Lagipun sekarang, kalau nak tahu seseorang itu sudah berkahwin, rujuklah di pejabat pendaftaran perkahwinan. Lihat sama ada nama saya ada atau tidak," katanya yang pernah membintangi filem 'Gerak Khas The Movie' dan 'Main-Main Cinta' sebelum ini.

Tambahnya dia masih mempunyai keluarga dan jika dia benar-benar mahu mendirikan rumahtangga, keluarga akan menjadi orang pertama yang mengetahuinya. Malah dia juga tidak berhasrat untuk merahsiakan majlis perkahwinannya daripada pihak media serta peminat yang selama ini tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada kerjaya seninya.

"Benda baik buat apa nak sorok. Peminat sekarang semakin bijak menilai bakat seseorang artis. Bujang atau sudah berkahwin bukan lagi masalah sekarang," jelasnya yang mula dikenali ramai melalui lagu "Bunga-Bunga Cinta" ciptaan Adnan Abu Hassan.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger