Industri seni tempatan sememangnya sudah sedia maklum bahawa bekas model, penyanyi dan pelakon terkenal era 1970-an, Noorkumalasari telah sekian lama meninggalkan dunia seni. Penghijrahannya meninggalkan impak besar kepada industri seni negara.
Apa tidaknya, anak kepada pasangan pelakon veteran Allahyarham S. Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum ini sangat berbakat dan berjaya menjiwai apa sahaja watak yang diberikan kepadanya.
Berpeluang bertemu dengan adik kepada diva popular Anita Sarawak itu di majlis sidang akhbar seminar 'Keep The Change - How To Achieve Transformation And Sustaining It' baru-baru ini, pihak media tidak melepaskan peluang untuk bertanya perkembangan terbaru dirinya.
"Saya kini menjadi suri rumah sepenuh masa. Sama seperti wanita lain yang berkeluarga, sibuk dengan anak-anak dan menguruskan keperluan keluarga. Kini saya mempunyai empat orang anak lelaki dan mereka semua memerlukan perhatian saya," ujar wanita berusia 54 tahun itu tenang.
Ditanya sama ada dia merindui dunia seni yang pernah diceburinya, Noorkumalasari yang pernah menjadi pengacara program 'Anugerah Juara Lagu 1987' mengakui tidak berminat lagi untuk kembali ke halaman seni. Katanya dia sudah sedia maklum dengan dunia seni dan cabaran-cabaran yang perlu dilaluinya.
"Zaman itu sudah berlalu bagi saya. Jika dahulu saya asyik memikirkan populariti dan glamor. Hati juga tidak tenang serta serabut apabila mengingatkan tentang peminat. Memanglah ketika di luar, saya selalu diserbu peminat, tetapi selepas itu saya akan rasa kesepian dan keseorangan.
"Tetapi kini jiwa saya semakin tenang dan tidak pernah rasa keseorangan kerana di dalam hati saya sentiasa mengingati Allah," ujarnya yang pernah menghasilkan tiga buah album semasa aktif menjadi penyanyi iaitu 'Noor', 'Aku Di Sini' dan 'Ke Mana Ku Bawa Diri'.
Tambah penyanyi yang cukup popular dengan lagu "Mata", "Selamat Pagi Sayang" dan "Terpikat" itu, sehingga kini dia masih menerima tawaran untuk membintangi drama serta filem. Namun kesemuanya ditolak secara baik dengan niat tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.
"Memang saya ada menerima tawaran dan kesemuanya watak bertudung. Apabila menerima sesuatu tawaran, saya akan berbincang dengan suami dan suami memberikan kebebasan kepada saya untuk menerima atau menolak tawaran yang diberikan.
"Selepas berfikir panjang dan menimbang segala baik buruknya, saya ambil keputusan untuk tidak melibatkan lagi dalam dunia seni. Walaupun watak bertudung tetapi kadang-kala saya perlu meminta rehat daripada produksi untuk bersembahyang.
"Saya faham apabila saya rehat, seluruh produksi juga terpaksa berehat dan ini akan membuatkan produksi rugi. Malah proses bersolek juga akan mengambil masa yang panjang kerana setiap kali selepas bersembahyang, saya pastinya perlu disolek sekali lagi.
"Oleh sebab itu, memikirkan tentang semua itu khususnya perkara yang berkaitan dengan sembahyang, rasanya lebih baik saya menjauhi diri daripada dunia seni," tokoknya yang sebelum ini pernah berduet dengan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad melalui lagu "Bimbang Terluka Lagi" serta "Melangkah Seiringan".
Kongsi pengalaman peribadi
Bercerita tentang penglibatannya di dalam seminar 'Keep The Change - How To Achieve Transformation And Sustaining It' yang dianjurkan oleh AM Production Sdn. Bhd. dan Airborne Production Sdn. Bhd, penyanyi yang sinonim dengan lagu raya "Pulang Di Hari Raya" itu menyatakan, dia akan berkongsi pengalaman peribadi yang dilaluinya selama ini dengan peserta seminar.
Namun katanya, program tersebut bukanlah siri ceramah untuknya berdakwah sebaliknya mahu berkongsi pengalaman dengan orang lain mengenai perubahan hidupnya serta cara terbaik untuk mengekalkan perubahan tersebut.
"Saya pernah menyaksikan seorang wanita yang bertudung tetapi apabila sampai di dalam kereta dia menanggalkannya. Inilah yang kita mahu cuba elakkan. Saya tidak mahu wanita bertudung kerana disuruh oleh suami atau perlu bertudung kerana orang lain bertudung.
"Saya mahu seseorang wanita itu bertudung kerana rasa cintanya kepada Allah dan bukan atas sebab-sebab lain," katanya yang mula menceburkan diri di dalam dunia lakonan melalui filem 'Menanti Hari Esok' pada tahun 1977.
Katanya untuk mengekalkan sesuatu perkara baik sememangnya amat payah. Seseorang itu perlu mempunyai kekuatan dalaman serta keazaman yang tinggi agar perkara baik itu berterusan dilakukan.
"Saya dahulu bertudung tanpa dirancang. Saya bersyukur kerana mendapat hidayah daripada Allah. Selain itu jika dahulu saya tidak pergi ke masjid untuk bersembahyang, tetapi kini saya akan pergi ke masjid bersama suami dan anak-anak untuk bersembahyang berjemaah.
"Ini kerana ketika menunaikan haji di Mekah, saya lihat golongan wanita berlumba-lumba ke masjid untuk menunaikan sembahyang. Tetapi apabila sampai di sini, amalan tersebut dilupakan tanpa sebarang alasan kukuh.
"Perkara seperti ini dan pengalaman yang saya lalui inilah yang mahu saya kongsi dengan para peserta seminar. Ini bukanlah ceramah kerana sehingga kini saya belum bersedia untuk memberikan sebarang ceramah kerana takut ada membuat kesilapan dan yang lebih buruk takut-takut jika timbul perasaan bangga serta riak dalam diri saya," ujarnya yang turut pernah berlakon dalam sebuah filem seram usahasama Malaysia-Indonesia, 'Misteri Rumah Tua' pada tahun 1987.
Home »
» Noorkumalasari Jauhi Dunia Seni
Noorkumalasari Jauhi Dunia Seni
Written By canang on Khamis, 1 Julai 2010 | 7/01/2010 10:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan