Home » » Sindiket Jual Bayi: Polis Selamatkan Dua Lagi Kanak-kanak Di Kuching

Sindiket Jual Bayi: Polis Selamatkan Dua Lagi Kanak-kanak Di Kuching

Written By canang on Sabtu, 17 Julai 2010 | 7/17/2010 10:40:00 PTG

KUCHING: Polis Sarawak berjaya menyelamatkan dua lagi kanak-kanak yang berusia empat dan tiga tahun serta menahan dua adik-beradik perempuan warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penjualan bayi di sini.

Dalam satu serbuan di sebuah rumah di Batu Kawa, di sini kira-kira 5.30 petang semalam, polis menemui seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dan kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual di sini.

Selain itu, polis turut menahan dua adik-beradik perempuan warga Indonesia berusia 22 dan 19 tahun yang dipercayai penjaga kedua-dua kanak-kanak tersebut.

Majistret Mahkamah Kuching, Iris Awen Jon memerintahkan dua adik-beradik tersebut ditahan reman selama enam hari, bermula hari ini untuk membolehkan polis membuat siasatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Huzir Mohamad berkata sehingga hari ini, polis telah menahan reman 14 suspek termasuk pasangan bergelar Datuk dan Datin yang berusia 65 dan 43 tahun.

Beliau berkata polis berjaya menyelamatkan tiga bayi dan lima kanak-kanak yang berusia antara satu bulan hingga 12 tahun, yang kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Siasatan masih dijalankan dan kita berharap proses siasatan dapat disiapkan dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kegiatan sindiket penjualan bayi ini terbongkar pada Isnin lepas selepas polis Sarawak menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 23 hari (pada ketika itu) yang cuba dijual oleh seorang wanita warga Indonesia dengan harga RM10,000 kepada anggota polis yang menyamar sebagai pembeli di sebuah restoran di MJC New Township, Batu Kawa di sini. - BERNAMA

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger