Home » » Bankrap, Bankrap, Bankrap

Bankrap, Bankrap, Bankrap

Written By canang on Khamis, 5 Ogos 2010 | 8/05/2010 11:00:00 PG

Kita tidak pernah terbayang Malaysia akan bankrap. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sendiri. Bukannya di pihak Pakatan Rakyat. Hanya ada sembilan tahun lagi, iaitu pada 2019 sebelum negara ini dikatakan akan muflis.
Kenyataan tersebut harus dipandang serius, walaupun ia pada mulanya untuk menakut-nakutkan rakyat agar bersetuju ditarik balik subsidi. Seakan-akan tidak ada cara dan kaedah lain untuk menyelamatkan negara daripada bankrap, kecuali hanya dengan menarik semula subsidi untuk rakyat.
Di sebalik kenyataan tersebut, apa yang berlaku ialah kerajaan yang tahun demi tahun mengambil sejumlah besar daripada pendapatan dan keuntungan Petronas.
Usul yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat ditolak atas alasan ia tidak perlu dibahaskan segera.
Fakta pun dikemukakan; pertama, penurunan jumlah keuntungan yang berkurangan wajar dibimbangi.
Tahun lalu, syarikat petroleum ulung negara ini mencatat keuntungan lebih RM50 bilion dan tahun ini, jumlahnya menurun kepada sekitar RM40 bilion. Penurunan sebanyak sekitar RM10 bilion.
Di saat keuntungan yang berkurang-an, jumlah yang dipaksa diserah kepada kerajaan terus pula meningkat. Tahun lalu sahaja, lebih RM70 bilion terpaksa diserahkan kepada kerajaan bagi menampung belanjawan negara.
Dalam masa yang sama anehnya, defisit belanjawan tetap sahaja meningkat sehingga mencecah lebih 15 peratus.
Bukan pertama kali wang Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) digunakan atas alasan menyelamatkan ekonomi negara. Masih segar diingatan kita bagaimana wang Tabung Haji, Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa GLC lainnya juga pernah digunakan sewaktu Malaysia menghadapi krisis ekonomi 1998 dahulu.
Seakan-akan GLC-GLC ini tujuannya untuk menampung ketidakkecekapan dan ke-gagalan kerajaan mengurus dan memacu ekonomi secara keseluruhan.
Tentulah dalam skop lebih besar, kesemua GLC tersebut pasti sukar untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa dan mencatat keuntungan lebih besar. Psikologi dan semangat para pegawainya juga akan terganggu apabila di hadapan mata, hasil titik peluh mereka dipunggah ke Pejabat Menteri Kewangan dengan begitu mudah.


Malah, Petronas dilaporkan hanya melabur sekitar 30 peratus daripada keuntungannya untuk meneroka telaga-telaga minyak baru. Jumlah tersebut jauh terlalu kecil jika dibandingkan dengan syarikat petroleum lainnya seperti Shell yang menggunakan sekitar 70 peratus bagi tujuan yang sama.
Bagi saya, semua ini mengesahkan lagi kenyataan Idris bahawa Malaysia memang menuju bankrap. Malang seribu kali malang andai di dalam keadaan getir dan genting sebegini, apa yang dinamakan ‘subsidi kepada rakyat’ mahu ditarik semula, dan apa yang dinamakan sebagai ‘insentif kepada syarikat kroni’ tetap tidak disentuh dan mahu dikekalkan.
Apabila akhbar Suara Keadilan menerbitkan berita Felda yang berhadapan dengan masalah sama, akhbar itu pula diganggu dan digantung tidak bertali.
Permit akhbar tidak disambung semula sehingga detik ini.
Nampaknya ini adalah tanda-tanda awal pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir. Bagi parti pemerintah, mereka nampaknya memang perlu mengekang suara pembangkang.
Memang sejak lebih 50 tahun, parti pemerintah yang ada mengamalkan cara pembodohan ke atas rakyat untuk kekal berkuasa.
Perkiraan kali ini berbeza. Perkiraan kita kali ini adalah untuk menyelamatkan sekian banyak syarikat milik rakyat yang sediakala parah, dan menjelang PRU akan datang, antara tugas penting kita ialah menyelamatkan negara daripada muflis dan bankrap.
Kita hanya ada peluang sekali ini sahaja. Dari tanah suci Kota Mekah, ke hadrat Allah SWT saya berdoa agar negara kita disimpang dan diselamatkan daripada bankrap. Amin...


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger