Home » » Kaki kikis:Tipu 6 suami

Kaki kikis:Tipu 6 suami

Written By canang on Jumaat, 13 Ogos 2010 | 8/13/2010 02:11:00 PG

Hanya selepas beberapa bulan berkahwin, perempuan terbabit akan menghilangkan diri selepas mengikis duit suaminya dan sepanjang beberapa tahun lalu, ‘wanita pisau cukur’ itu sudah berkahwin dengan enam lelaki dan melarikan wang lebih RM500,000.

Sumber polis berkata, penipuan wanita itu terbongkar apabila suami terbarunya mengesan kegiatannya dan membawa isterinya ke Balai Polis Cheras di sini, untuk ditahan pada 6 Ogos lalu.

“Mangsa terbarunya dikenali sebagai Chung, 30-an, memberitahu polis dia mengenali wanita itu melalui laman facebook di Internet pada April lalu.

“Hasil perkenalan singkat itu, wanita terbabit mengajak mangsa keluar sebelum merayu mengikut teman lelaki barunya itu pulang ke rumah dengan alasan untuk menggunakan komputer. Ketika di rumah mangsa, dia menggoda dan mengajak mangsa melakukan hubungan seks,” katanya.

Menurutnya, beberapa minggu kemudian wanita itu berlakon kononnya dia hamil dan mengugut mangsa supaya mengahwininya.

Sumber itu berkata, mangsa yang akur desakan itu mengajak wanita terbabit berkahwin dengan mendaftarkannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun wanita terbabit menolak dengan mendakwa lebih berminat dilakukan secara tradisi.

“Susulan itu mangsa membawa wanita terbabit ke kampungnya di Sabah untuk melangsungkan perkahwinan pada Mei lalu. Namun, keluarga mangsa hairan apabila tiada wakil atau ahli keluarga wanita itu muncul ketika majlis perkahwinan.

“Apabila ditanya, dia memberi alasan kononnya seorang ahli keluarga terdekatnya di Semenanjung meninggal dunia akibat penyakit kanser,” kata sumber itu.

Menurutnya, lebih mengejutkan wanita terbabit enggan membuat kenduri perkahwinan di pihak keluarganya di Kuala Lumpur, selain cuba mengelak bertemu orang ramai serta sanak-saudara mangsa.

Katanya, selepas selesai majlis perkahwinan, wanita itu memberitahu suaminya mengenai peluang perniagaan yang kononnya bakal memberi keuntungan besar.
Berikutan itu suaminya memberi wang termasuk kutipan daripada ahli keluarga berjumlah RM300,000.

“Bagaimanapun, keluarga mangsa mencurigai suspek selepas mendapati perut wanita itu tidak menunjukkan tanda mengandung. Malah, wang keuntungan hasil pelaburan dijanjikan turut lesap,” katanya.

Sumber itu berkata, tembelang wanita terbabit terbongkar selepas kakak mangsa mengenal pasti identiti suspek yang pernah disiarkan di akhbar berhubung kes penipuan terhadap beberapa lelaki lain sebelum ini.

“Wajahnya yang dirakam bersama beberapa lelaki berbeza pada majlis perkahwinan berasingan pernah disiarkan melalui media massa selepas dia didapati melarikan diri selepas menipu.

“Susulan itu mangsa menyerahkan wanita terbabit kepada polis Cheras untuk siasatan lanjut,” katanya.

Siasatan awal polis mendapati, wanita terbabit mempunyai empat anak, namun setiap kali cuba menjerat mangsa, dia mengaku belum pernah berkahwin dan tiada anak.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Superintanden Abdul Rahim Hamzah yang dihubungi berkata, suspek ditahan Jumaat lalu untuk siasatan lanjut dan direman lima hari.

Menurutnya, polis akan menyerahkan hasil siasatan lengkap terhadap suspek kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Suspek turut dikehendaki polis Sentul berhubung laporan penipuan sama. Kami mungkin akan menyerahkannya kepada polis daerah itu bagi membolehkan siasatan dilakukan.

“Orang ramai yang pernah menjadi mangsa penipuan licik wanita terbabit diminta tampil membuat laporan polis bagi memastikan suspek menerima hukuman setimpal
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger