SHAH ALAM, 12 Ogos: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) menjangkakan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tetap menjadi batu api dengan memanipulasi kenyataannya serta kenyataan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain kelak.
Menurut beliau, dengan menjadi bati api membolehkan Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri berusaha mengelirukan orang-orang Melayu supaya Umno BN tidak tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).
"Dulu dia (Muhyiddin) laga-lagakan Presiden PASdengan Tony Phua, sekarang dia laga-lagakan saya dengan Ustaz Hadi.
"Selepas ini, tentu dia akan tetap laga-lagakan yang lain sebab dia ini batu api, batu api memang begitu untuk selamatkan Umno pada PRU13 nanti," ujarnya pagi tadi ketika menghubungi Harakahdaily.
Baginya, tindakan Muhyiddin itu sebenarnya bermotif apabila asyik menggembar-gemburkan wacana awam berhubung polisi Melayu Bumiputera mendapat diskaun 7 hingga 10 peratus pada pembelian rumah dan bangunan komersial yang masing-masing bernilai minimum RM500 ribu dan RM2 juta.
"Dia memang suka lebih banyak Melayu miskin yang ramai sebab dengan demikian itu orang-orang kaya termasuk pemimpin-pemimpin Umno yang sedia kaya boleh terus dapat lebih banyak subsidi.
"Mereka ini memang suka batu api ini, mereka suka Melayu miskin yang ramai kerana kalau Melayu miskin dah tak ada, mereka ini tak dapat subsidi lagi," tegasnya.
Ekoran itu, beliau turut mempersoal rasionalisme pada pendirian Muhyiddin pula.
"Bagaimana nak selesainya kemiskinan orang-orang Melayu kalau Muhyiddin mempertahankan dasar memberi subsidi dan diskaun-diskaun ini hanya pada orang-orang kaya," soalnya.
Sebagai contoh, beliau berkata, Bumiputera yang sedia kaya raya sahaja akan terus menikmati subsidi RM35 ribu atau diskaun 7 peratus dalam pembelian rumah mewah bernilai RM500 ribu umpamanya, kerana orang-orang Melayu miskin mustahil boleh memberi rumah-rumah mewah ini.
"Inilah yang segelintir ahli-ahli Umno yang tinggal di rumah kos rendah, PPRT (projek perumahan rakyat termiskin) tidak nampak.
"Mereka sokong perjuangkan batu api ini tetapi orang lain yang dapat subsidi-subsidi ini," ujarnya sambil mencabar Muhyiddin memperjuangkan diskaun atau subsidi yang lebih besar pada penjualan hartanah kos rendah dan sederhana untuk orang Melayu termiskin.
Sehubungan itu, beliau berkata, tidak timbul isu percanggahan pendapat antara kenyataannya dengan Abdul Hadi itu.
"Pendirian saya dan Abdul Hadi sebenar tidak berbeza, iaitu kita nak bantu orang Melayu, kita nak bantu orang miskin, bukannya membantu Melayu dan Bumiputera yang sedia kaya.
"Tak ada percanggahan antara saya dan Abdul Hadi sebenarnya, ini kerja batu api namanya," tegasnya lagi sambil menyuarakan rasa yakin bahawa orang-orang Melayu dan bukan Melayu tidak terpengaruh dengan budaya batu api itu.
Selasa lalu, Muhyiddin, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional merangkap Timbalan Presiden Umno mencabar Khalid menyokong pendirian Abdul Hadi kononnya atas dasar perjuangan Melayu.
Cabaran itu ekoran Khalid mengambil 'jalan tengah' dengan mengadunkan cadangan dinamik Abdul Hadi dan Tony itu supaya tetap menguntungkan orang-orang Melayu bawahan, bukannya mereka yang kaya raya.
Khalid pada perkembangan yang sama turut dilaporkan mendakwa perjuangan Muhyiddin bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang dipopularkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri walaupun Muhyiddin sendiri berkali-kali menafikan hakikat tersebut.
Ini kerana, beliau berkata, Muhyiddin masih dilihat sebagai ekstrem Melayu, sedangkan Najib cuba memujuk orang-orang bukan Melayu supaya kembali menyokong Umno BN melalui slogan tersebut pada pilihan raya akan datang.
Home »
» Muhyiddin akan jadi batu api sampai PRU 13
Muhyiddin akan jadi batu api sampai PRU 13
Written By canang on Jumaat, 13 Ogos 2010 | 8/13/2010 05:59:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan