- Kerajaan negeri Kelantan hari ini memfailkan saman terhadap syarikat petroleum negara, Petronas berhubung tuntutan hak lima peratus royalti minyak dan gas yang dinafikan ke atas penghasilan carigali yang bermula di negeri itu sejak tahun 2005.
Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengetuai rombongan pimpinan kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub, Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa dan Exco Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan , Datuk Takiyuddin Hassan untuk menfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Turut hadir juga termasuk Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli.Beliau tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.10 pagi dengan disambut laungan takbir oleh kira-kira 250 orang penyokong Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar).
Kira-kira 50 orang anggota polis berkawal di perkarangan mahkamah semenjak awal pagi serta beberapa trak polis yang diletakkan berhampiran jalan utama.
"Kita berdoa agar segala mereka yang mengendalikan urusan ini, iaitu hakim dan sebagainya supaya terbuka pintu hati mereka untuk ingat kepada keadilan. Keadilan ini adalah suruhan Tuhan, bahkan sebelum wujud PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) pun, kita diminta berlaku adil.
"Dalam Al-Quran ada lima perkara yang wajib dijaga iaitu akidah, nyawa, harta, kehormatan yang baik dan air muka. Sebagai ketua kerajaan, saya bersama rakan-rakan Exco ingin menjaga air muka rakyat. Harta mesti dijaga dengan baik, dan kami datang untuk menjaga kehormatan harta rakyat Kelantan dengan cara mana sekalipun," kata Nik Aziz.
Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas solat hajat beramai-ramai di Masjid Wilayah Persekutuan, sejurus selepas memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saman tersebut didaftarkan di pejabat Pendaftaran Dagang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi.
Ia dibuat berkenaan Petronas telah melanggar perjanjian kontrak yang turut membabitkan isu hak negeri-negeri dalam Perlembagaan Malaysia.
Sementara itu,Husam memberitahu adalah menjadi hak mana-mana negeri di dalam Malaysia untuk mendapat royalti lima peratus daripada hasil pengeluaran minyak petroleum dan gas sama ada yang dikeluarkan di darat, mahu pun di laut.
"Sehingga hari ini berlaku pengeluaran di empat buah bahagian, iaitu di bahagian Kelantan sendiri, kawasan Kelantan yang bertindih dengan Terengganu, kawasan Kelantan dengan Thailand dan kawasan Kelantan dengan Vietnam.
"Untuk pengeluaran bagi kawasan bertindih dengan Thailand sahaja, ianya berjumlah 10 juta tong setiap bulan yang mana kalau lima peratus hak diberi kepada Kelantan, ianya berjumlah sekitar RM1.7 bilion setahun bermula daripada Jun 2005.
"Ini adalah satu jumlah yang besar. Selama ini Petronas telah membayar kepada Terengganu selama 18 tahun. Dan sekiranya mereka berkata berlaku kesilapan dalam pembayaran royalti kepada Terengganu, bermakna pengurusan Petronas sebagai badan korporat multinasional adalah disangsikan," kata Husam.
"Kerana itu selepas dua kali peluang diberikan untuk menyiasat isu ini dengan cara yang sewajarnya tidak berhasil. maka kami bercadang untuk mengambil tindakan dengan menyaman Petronas," jelasnya.
Home »
» Kelantan Saman Petronas Berhubung Royalti Minyak
Kelantan Saman Petronas Berhubung Royalti Minyak
Written By canang on Selasa, 31 Ogos 2010 | 8/31/2010 05:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan