KUALA LUMPUR: Ubat perangsang seks yang dijual secara terbuka berikutan kurang pemantauan pihak berkuasa di ibu negara khususnya di sekitar kawasan Chow Kit, laris di pasaran dengan mendapat permintaan ramai di kalangan lelaki dewasa, malah penjualnya mampu meraih pendapatan sehingga RM300 sehari.
Seorang penjual yang dikenali sebagai Man, 52, mengakui ubat dan alat merangsang seks yang dijual, mendapat permintaan pelanggan tetap yang rata-rata berusia lingkungan 30 tahun ke atas.
“Ada ubat berharga RM5 sebiji dan RM30 sekotak, malah ada yang berharga RM80 sekotak... memang mahal tapi sebab nak kuat dan tahan lama, mahal pun orang sanggup beli”, katanya kepada Berita Harian semalam.
Katanya, ada di kalangan penjual ubat terbabit mampu meraih pendapatan antara RM100 hingga RM300 sehari, bergantung kepada permintaan pelanggan. Beliau sudah menjalankan perniagaan itu sejak 1980-an dan pelanggannya bukan saja terdiri daripada lelaki dewasa, malah golongan muda berusia 20 tahun ke atas turut membeli.
“Ada bermacam jenis ubat... ada untuk lelaki dewasa, ada juga untuk golongan muda. Malah wanita pun ada beli ubat dengan saya, terutama pelacur di sekitar kawasan ini,” katanya.
Man berkata, kebanyakan ubat dan peralatan perangsang seks yang dijualnya diambil daripada orang tengah dan barangan itu dibeli dari luar negara, terutama negara jiran dan China.
Walaupun tidak dapat mengesahkan keberkesanan produk berkenaan, beliau tetap meyakinkan pembelinya dengan mendakwa produk yang dijual dijamin ‘selamat’ dan mendapat kelulusan kementerian.
Dengan hanya berbekalkan sebuah beg bimbit dan menjalankan urus niaga di kaki lima berhampiran premis perniagaan sudah cukup bagi penjual ubat perangsang seks sepertinya menjana pendapatan lumayan tanpa pengawasan pihak berkuasa.
Seorang pembeli yang dikenali sebagai Rashid, 34, berkata beliau sering membeli ubat perangsang seks di kawasan itu yang didakwa berkesan dan mampu memuaskan pasangannya.
“Saya selalu beli di sini sebab di tempat lain susah nak dapat dan harga pun berpatutan,” katanya.
Walaupun ubat perangsang seks yang dijual di pasaran terbuka mampu memberi kepuasan sementara waktu, ramai di kalangan lelaki tidak menghiraukan kesan akibat pengambilan ubat terbabit secara berlebihan pada masa depan.
Kelmarin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap penjual, termasuk memerangi penjualan ubat-ubatan itu secara habis-habisan.
Tinjauan Berita Harian mendapati rata-rata penjual di sekitar kawasan itu terdiri daripada lelaki berusia 30 tahun ke atas yang memulakan aktiviti perniagaan seawal jam 9 pagi dan berakhir 10 malam, malah berlarutan hingga tengah malam pada hujung minggu.
Home »
» Penjual ubat seks dapat RM300 sehari
Penjual ubat seks dapat RM300 sehari
Written By canang on Sabtu, 7 Ogos 2010 | 8/07/2010 10:30:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan